Anwar, Tengku Zafrul dijemput hadiri Konvensyen Melayu 153 Sabtu ini

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijemput untuk menghadiri Konvensyen Melayu 153 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, konvensyen itu akan diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Jalan Ampang, bertujuan membincangkan tafsiran dan kedudukan Perkara 153.
“Kalau Perdana Menteri nak datang pun boleh. Dia (Tengku Zafrul) yang pandai fasal ini, kalau nak datang, nak buat penjelasan, kita sedia terima,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat Sekretariat Orang Melayu di sini pada Rabu.
Turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Konvensyen 153, Tan Sri Noh Omar; bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Rais Yatim dan Setiausaha Konvensyen 153, Marzuki Yahya.

Beliau turut menjemput wakil parti, NGO serta masyarakat persahabatan yang berminat untuk hadir termasuk UMNO bagi memastikan perbincangan konvensyen lebih menyeluruh.
Menurut Dr Mahathir, kehadiran tokoh-tokoh berkenaan penting untuk memperkukuh perbincangan dan keputusan yang akan dicapai berkaitan hak istimewa Melayu di bawah Perkara 153.
"Ada desakan supaya kita adakan satu konvensyen berkenaan Perkara 153.
"Ada pihak yang menyoal kedudukannya dan kita perlu tafsir serta jelaskan apa adanya Perkara 153 dan apakah boleh dilakukan... sama ada boleh diteruskan, dipinda ataupun ditambah baik.
"Ini bukan rapat umum, tetapi kita harap orang yang kita jemput hadir termasuk orang parti politik, NGO dan orang perseorangan," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

