Penumpang cemas, bas dilanggar lori muatan dedak

JASIN – Sepuluh penumpang bas ekspres berdepan detik cemas selepas kenderaan dinaiki mereka dilanggar sebuah lori muatan dedak dalam kejadian di Kilometer 183.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 1.45 tengah hari membabitkan dua kenderaan.
Menurutnya, lori dipandu lelaki berusia 69 tahun dari Bukit Gambir menghala ke Alor Gajah, manakala bas dipandu lelaki berusia 44 tahun dalam perjalanan dari Larkin menuju ke Seremban.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori yang bergerak di lorong kiri tidak menyedari kenderaan di hadapannya bergerak perlahan sebelum melanggar bahagian belakang bas berkenaan.
“Akibat kejadian itu, pemandu lori mengalami luka di kepala dan tangan, manakala pemandu bas mengalami sakit kaki. Kedua-duanya dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Bagaimanapun, katanya, semua 10 penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan dan meneruskan perjalanan menggunakan bas lain.
Lee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-1112 7533 atau Kaunter Aduan Trafik IPD Jasin di talian 06-529 2222 sambungan 260.
Ringkasan AI
- Bas ekspres dinaiki 10 penumpang dilanggar lori muatan dedak di Lebuhraya Utara-Selatan
- Kemalangan berlaku pada jam 1.45 tengah hari di Kilometer 183.2 arah utara
- Lori dipandu lelaki berusia 69 tahun dan bas dipandu lelaki berusia 44 tahun
- Pemandu lori dan bas mengalami luka dan sakit kaki masing-masing
- Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

