Pas ajak berdialog, elak kekeliruan persepsi buruk

Pas mengambil maklum kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagaimana dilaporkan sebelum ini. Gambar kecil: Ahmad Fadhli
Pas mengambil maklum kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagaimana dilaporkan sebelum ini. Gambar kecil: Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Pas sentiasa terbuka untuk berdialog dengan mana-mana pihak bagi menjelaskan dasar sekali gus merungkaikan sebarang kekeliruan yang timbul.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagaimana dilaporkan sebelum ini.

"Apa juga pandangan terhadap Pas wajar dijernihkan melalui dialog terbuka dan bukan melalui persepsi yang tidak lengkap.

"Saya ingin menegaskan bahawa kami sentiasa bersedia berdialog dengan mana-mana pihak bagi menjelaskan dasar dan mengatasi sebarang kekeliruan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ka Siong dilaporkan berkata, parti itu menolak kemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN) yang turut dinaungi Pas kerana masyarakat Cina sukar menerima ideologi parti Islam berkenaan.

Kenyataan itu selepas Ka Siong dilaporkan berkata, MCA akan menilai semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) jika UMNO terus bekerjasama dengan parti luar khususnya DAP.

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, MCA sendiri pernah bekerjasama dengan Pas dalam kerajaan PN dan mengetahui secara dekat pendekatan Pas ketika mentadbir.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tempoh itu, tidak pernah timbul sebarang konflik besar antara Pas dan MCA yang membawa perbalahan terbuka.

"Situasi ini berbeza dengan apa yang kita lihat dalam kalangan parti-parti kerajaan hari ini yang sering berdebat di khalayak secara tidak produktif.

"Pengalaman pentadbiran bersama ini sepatutnya menjadi asas kefahaman bahawa Pas bukan parti yang memusuhi mana-mana kaum atau agama, malah sentiasa memilih jalan rundingan dan harmoni dalam menyelesaikan perbezaan," katanya.

Tambahnya, jika masih wujud salah faham atau keraguan, pintu Pas sentiasa terbuka untuk dialog.

Ringkasan AI

  • Pas sentiasa terbuka untuk berdialog bagi menjelaskan dasar dan mengatasi kekeliruan
  • Ketua Penerangan Pas mengambil maklum kenyataan Presiden MCA tentang persepsi terhadap Pas
  • Pas bersedia untuk berdialog dengan mana-mana pihak untuk menjernihkan pandangan
  • MCA pernah bekerjasama dengan Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional tanpa konflik besar
  • Pas dianggap bukan parti yang memusuhi mana-mana kaum, memilih jalan rundingan dan harmoni

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!