Insentif lumayan menanti warga UniMAP wakili negara

Mustafa ( tengah) bersama atlet UniMAP dalam sukan Woodball. FOTO UNIMAP
Mustafa ( tengah) bersama atlet UniMAP dalam sukan Woodball. FOTO UNIMAP
A
A
A

 

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan sukan tanah air apabila memperkenalkan skim insentif dan pengecualian yuran kolej kepada mahasiswa serta warga universiti yang mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Langkah proaktif itu menyasarkan atlet UniMAP yang berjaya menyarung jersi negara dalam kejohanan antarabangsa, termasuk di bawah naungan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), sebagai usaha meringankan beban kewangan dan menyuntik semangat juang dalam kalangan atlet kampus.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang universiti dalam melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi dari kampus ke peringkat dunia.

“Pendekatan ini mencerminkan iltizam UniMAP untuk berdiri teguh bersama atlet yang membawa nama negara dan universiti. Kami percaya dengan sokongan menyeluruh, lebih ramai atlet IPTA khususnya dari UniMAP akan tampil berani mencabar diri di peringkat antarabangsa,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman skim insentif yang menawarkan ganjaran berdasarkan pencapaian pingat serta pengecualian yuran kolej kepada atlet yang bertanding dalam kejohanan rasmi negara.

Mustafa (dua kiri) meninjau atlet UniMAP yang terlibat dalam sukan Woodball menjalani latihan. FOTO UNIMAP
Mustafa (dua kiri) meninjau atlet UniMAP yang terlibat dalam sukan Woodball menjalani latihan. FOTO UNIMAP

 

Artikel Berkaitan:

 

Sebagai rekod, pelajar UniMAP, Nur Laili Idani Rosli, bersama seorang staf universiti, Nor Rinda Ramli, telah terpilih mewakili Malaysia dalam acara woodball pada temasya Sukan SEA 2025 yang dijadual berlangsung di Chonburi, Bangkok, dari 9 hingga 15 Disember depan.

Kejayaan itu sekali gus membuktikan kepercayaan terhadap bakat dan sistem pembangunan sukan yang diterapkan di UniMAP.

Dalam pada itu, Ketua Sekretariat Program Sukan Prestasi Tinggi (PSPT) UniMAP, Nazmizan Muhammad, turut mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025.

Mengulas pelantikan tersebut, Nazmizan menyifatkan ia sebagai satu amanah besar yang mencerminkan pengiktirafan terhadap komitmen UniMAP dalam pembangunan sukan.

“Kepercayaan ini bukan sahaja satu penghormatan peribadi, malah mencerminkan usaha kolektif universiti dalam menyediakan ruang dan peluang kepada atlet untuk beraksi di kejohanan berprestij.

“Saya berharap lebih ramai atlet muda UniMAP akan berani menetapkan sasaran tinggi demi mengharumkan nama universiti dan negara,” katanya.

Sebelum ini, UniMAP turut memperkenalkan Biasiswa Sukan UniMAP–Budaya Positif sebagai dorongan berterusan kepada atlet kampus sekali gus memperlihatkan kesungguhan institusi itu dalam membina ekosistem sukan yang mampan dan berdaya saing.

 

Ringkasan AI

  • UniMAP memperkenalkan skim insentif dan pengecualian yuran bagi atlet yang mewakili Malaysia di pentas antarabangsa
  • Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan atlet dan meningkatkan semangat juang
  • Dilancarkan sebagai sebahagian dari pelan jangka panjang UniMAP untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi
  • Pelajar dan staf UniMAP, Nur Laili Idani Rosli dan Nor Rinda Ramli, terpilih mewakili Malaysia dalam Sukan SEA 2025
  • Nazmizan Muhammad dari UniMAP dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!