APMM arah bot penumpang patah balik

APMM Selangor dengan kerjasama PPM Pelabuhan Klang menjalankan operasi rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Perairan Selangor semalam. Foto: Rosli Talib
APMM Selangor dengan kerjasama PPM Pelabuhan Klang menjalankan operasi rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Perairan Selangor semalam. Foto: Rosli Talib
A
A
A

KLANG - Sebuah bot penumpang diarah patah balik ke kapal selepas dikesan membawa seorang kru warga Myanmar di Perairan Tanjung Harapan, di sini hari ini, bagi mengelakkan risiko penularan koronavirus (Covid-19).

Cubaan itu dikesan semasa rondaan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor dan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dalam operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sekitar Perairan Selangor.

Pengarah APMM Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot penumpang atau teksi air terbabit dilihat keliru dengan PKP yang sedang dikuatkuasakan.

"Adalah tidak dibenarkan membawa penumpang kru kapal lain kerana bimbang risiko jangkitan wabak Covid-19.

"Kru kapal yang berlabuh terutama warga asing dilarang untuk keluar dari kapal kerana mereka tidak diketahui sama ada terdapat jangkitan atau sebagainya.

"Jika pihak kapal hendak membeli keperluan asas, mereka boleh menghubungi agen mereka dan menggunakan teksi bot untuk penghantaran bekalan yang diperlukan," katanya kepada Sinar Harian selepas operasi terbabit.

Beliau berkata, sekiranya gagal mematuhinya, tindakan akan diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria berkata, bot-bot ronda akan ditempatkan di tempat strategik bagi memantau pergerakan PATI sama ada keluar atau masuk.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan ini akan terus diperkasa dari semasa ke semasa dalam usaha mengawal dan menguatkuasakan undang-undang," katanya.