Keputusan AirAsia wajar jadi penanda aras industri penerbangan negara - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA – Keputusan AirAsia membenarkan kru kabinnya mengenakan pakaian menutup aurat dilihat sebagai langkah progresif yang wajar dijadikan penanda aras kepada semua syarikat penerbangan negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu bukan sahaja menepati tuntutan beragama tetapi selari dengan realiti demografi negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Beliau menegaskan keputusan tersebut melambangkan kefahaman industri terhadap prinsip kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, selain menyokong budaya kerja yang lebih inklusif.

“Saya mengucapkan tahniah dan menyambut baik pengumuman AirAsia.

“Keputusan ini bukan sahaja selaras tuntutan beragama dan juga keberkatan mencari nafkah diri, ia juga selari dengan realiti demografi negara di mana lebih 60 peratus warga Malaysia beragama Islam,” ujarnya menerusi hantaran di laman sosial pada Sabtu.

Menurut beliau, dasar berorientasikan nilai agama dan budaya pekerja terbukti meningkatkan motivasi, kepuasan kerja serta imej korporat dalam ekonomi moden.

“Banyak syarikat global telah bergerak ke arah 'faith-friendly workplace' dan langkah AirAsia menempatkan Malaysia seiring dengan perkembangan tersebut,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan industri penerbangan Malaysia seharusnya memperkenalkan standard yang mencerminkan identiti nasional, bukan hanya dari sudut perkhidmatan.

“Langkah ini wajar menjadi penanda aras kepada semua syarikat penerbangan negara. Industri penerbangan Malaysia seharusnya mempamerkan standard yang mencerminkan identiti nasional yang mementingkan nilai agama dan budaya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tuan Ibrahim juga menyentuh keperluan menilai semula penyediaan minuman keras dalam penerbangan domestik kerana faktor keselamatan dan norma sosial.

“Selain pertimbangan keselamatan dan risiko gangguan dalam pesawat, negara-negara yang mempunyai norma sosial yang lebih konservatif telah pun mengehadkan atau menghentikan penyediaannya tanpa menjejaskan daya saing industri,” katanya.

Beliau menyifatkan keputusan AirAsia sebagai manifestasi keberanian pengurusan korporat yang memahami nilai masyarakat serta tuntutan semasa.

Terdahulu AirAsia mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin, yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas.

Ia selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi yang berterusan yang dibentuk oleh maklum balas daripada semua.

Ringkasan AI

  • AirAsia membenarkan kru kabin wanita mengenakan pakaian menutup aurat mulai Ramadan akan datang sebagai langkah progresif
  • Keputusan ini menepati tuntutan beragama dan selari dengan demografi majoriti penduduk Malaysia yang beragama Islam
  • Menyimbolkan kefahaman dan sokongan terhadap kebebasan beragama serta budaya kerja inklusif
  • Dilihat sebagai langkah yang meningkatkan motivasi, kepuasan kerja dan imej korporat, sejajar dengan tren global 'faith-friendly workplace'
  • Mencadangkan industri penerbangan Malaysia menampilkan standard yang mencerminkan identiti nasional yang mengutamakan nilai agama dan budaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!