Annapurna keindahan menyentuh jiwa

A
A
A

NEPAL terus memukau pengunjung dari seluruh dunia dengan keindahan Annapurna, rangkaian gunung yang bukan sahaja megah tetapi memiliki daya tarikan tersendiri daripada kaki bukit hingga ke puncaknya.

Keindahan Annapurna terserlah melalui panorama yang berubah-ubah dari lembah hijau, sungai jernih, kampung tradisi, hutan berkabus dan puncak dilitupi salji yang memantulkan cahaya keemasan ketika matahari terbit.

Keunikan Annapurna bukan sekadar landskapnya, tetapi kehidupan harian penduduk tempatan yang membuatkan setiap hentian terasa seperti memasuki babak baharu dalam sebuah cerita pengembaraan.

Pemandangan sekitar bandar Pokhara.
Pemandangan sekitar bandar Pokhara.

Puncaknya, Annapurna Base Camp (ABC) menjadi lokasi ikonik yang menyajikan pemandangan matahari terbit antara tercantik di dunia.

Di sebalik keindahan itu, penulis, Asmaruddin Jamaluddin berkongsi pengalaman selama 10 hari menjelajah ABC memberi gambaran lebih dekat mengenai realiti perjalanan di kawasan pergunungan Nepal melalui Ekspedisi Annapurna Base Camp.

Ekspedisi yang berakhir di Pokhara pada 24 November 2025 itu bukanlah mendaki secara agresif, sebaliknya satu bentuk pelancongan rekreasi untuk menghargai keindahan dan keunikan Annapurna.

Artikel Berkaitan:

Peserta perlu memakai peralatan lengkap untuk mendaki kawasan pergunungan itu.
Peserta perlu memakai peralatan lengkap untuk mendaki kawasan pergunungan itu.

Rakan sependakian jadi keluarga

Penulis bersama isteri, Wan Norazah Wan Mahadi menyertai kumpulan seramai 12 orang pendaki ditemani seorang guide dan lima porter.

Menariknya, kami semua tidak saling mengenali sebelum bertemu di lapangan terbang, namun perjalanan bersama selama beberapa hari cukup untuk menjadikan setiap ahli seperti keluarga.

Penulis dan isteri bergambar kenangan berlatar belakang kawasan pergunungan ketika Ekspedisi ke Annapurna Base Camp, Nepal.
Penulis dan isteri bergambar kenangan berlatar belakang kawasan pergunungan ketika Ekspedisi ke Annapurna Base Camp, Nepal.

Persediaan fizikal yang dilakukan beberapa bulan sebelum berangkat nyata membantu, namun pada hari pertama, saya terpaksa menyerahkan beg kepada porter kerana keletihan mula terasa.

Hari-hari berikutnya dilalui memperlihatkan pemandangan semakin indah, misalnya melalui Sinuwa, Bamboo dan Upper Dovan yang menampilkan suasana pergunungan bersih, udara sejuk dan laluan yang dikelilingi hutan hijau.

Penulis dan isteri bergambar kenangan berlatar belakang kawasan pergunungan ketika Ekspedisi ke Annapurna Base Camp, Nepal.
Penulis dan isteri bergambar kenangan berlatar belakang kawasan pergunungan ketika Ekspedisi ke Annapurna Base Camp, Nepal.

Penulis mengakui cabaran sebenar dirasai ketika menuju ABC apabila kabus tebal, suhu beku dan laluan basah menjadikan perjalanan perlahan sehingga mengambil masa lebih 11 jam pada jarak 8.5 kilometer (km).

Tambahan pula, Azah mula menunjukkan simptom penyakit altitud (AMS) pada hari keenam ekspedisi dan diberi oksigen serta sup bawang putih oleh guide dan porter untuk membantu memulihkan keadaan tubuhnya.

Cuaca sejuk antara cabaran menuju ke ABC.
Cuaca sejuk antara cabaran menuju ke ABC.

Ganjaran pemandangan terindah

Setibanya di ABC pada malam hari, kami semua disambut dengan pek panas dan makanan hangat sebelum tidur dalam kesejukan ekstrem yang tidak mudah dilupakan.

Keesokan paginya, kami menyaksikan detik yang membuat segala penat hilang serta-merta dengan matahari terbit yang menyelimutkan puncak Annapurna dengan sinaran keemasan.

Peserta ekpedisi merakamkan gambar kenangan selepas berjaya sampai ke ABC.
Peserta ekpedisi merakamkan gambar kenangan selepas berjaya sampai ke ABC.

Ratusan pendaki lain turut berebut mendapatkan sudut terbaik untuk mengabadikan saat itu dan uniknya, masa berlalu terlalu cepat, tidak seperti malam sebelumnya yang terasa begitu panjang dan sejuk.

Pengalaman melalui dan bergambar di jambatan gantung terpanjang di Kaski turut menjadi antara momen paling diingati sebelum kami kembali ke Pokhara.

Peserta akan bertemu dengan kuda silih berganti membawa barangan keperluan menuju ke destinasi.
Peserta akan bertemu dengan kuda silih berganti membawa barangan keperluan menuju ke destinasi.

Pada usia 60 dan 50 tahun, penulis dan isteri berasa sangat bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke ABC, selepas sekian lama berehat dari aktiviti mendaki.

Justeru, penulis berpandangan setiap rupee yang dibelanjakan benar-benar berbaloi kerana Annapurna bukan sekadar lokasi, tetapi pengalaman mendalam tentang alam, manusia dan ketahanan diri.

* Orang ramai yang ingin menyumbang artikel ke ruangan Santai Sabtu boleh menghantar bahan masing-masing ke aplikasi WhatsApp menerusi nombor telefon 019-2650823 atau e-mel aduan@sinarharian.com.my selain hubungi talian 03-51017469

Ringkasan AI

  • NEPAL memukau dengan keindahan Annapurna yang menawarkan panorama lembah hijau, sungai jernih, dan puncak dilitupi salji
  • Keunikan Annapurna terletak pada landskap dan kehidupan penduduk tempatan
  • Annapurna Base Camp menyajikan pemandangan matahari terbit tercantik
  • Ekspedisi Annapurna Base Camp bukan mendaki agresif tapi sebagai pelancongan rekreasi
  • Pengalaman mendaki bersama menjadi bertambah erti dengan persahabatan yang terbina dan ganjaran pemandangan di puncak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!