Diskaun hingga 30 peratus jadi tarikan utama IMAT 2025

Luqman (dua dari kanan) merasmikan pelancaran IMAT 2025 di pekarangan parkir AEON Mall Bukit Tinggi di sini pada Sabtu.
Luqman (dua dari kanan) merasmikan pelancaran IMAT 2025 di pekarangan parkir AEON Mall Bukit Tinggi di sini pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Tawaran harga murah antara lima hingga 30 peratus bagi pelbagai barangan asas dan produk makanan menjadi tarikan utama ribuan pengunjung ke Karnival Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) 2025 yang berlangsung di pekarangan parkir AEON Mall Bukit Tinggi di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Luqman Ahmad berkata, diskaun itu diberikan sebagai usaha membantu orang ramai mendapatkan barangan segar dan keperluan asas pada harga berpatutan.

“Kita memberi tawaran harga lebih rendah berbanding harga pasaran melibatkan barangan asas tani, makanan diproses, produk popular negeri Selangor dan florikultur termasuk 80 jenis anak benih.

"Barangan segar seperti dua varieti cempedak durian yang dibawa khas dari Johor juga dijual pada harga lebih rendah," katanya.

Luqman memberitahu, sambutan luar biasa itu turut membantu meningkatkan pendapatan usahawan apabila lebih 25,000 pengunjung direkodkan sekali gus memberi manfaat kepada 130 usahawan yang menyertai karnival kali ini.

"Karnival IMAT edisi ke-26 ini sebahagian daripada 30 siri keseluruhan dan kita lihat potensi sangat cerah untuk memperkasa ekonomi berasaskan pertanian.

"Anggaran manfaat kepada usahawan mencecah nilai jualan mencecah RM500,000,” katanya.

Luqman berkata, setakat ini nilai jualan keseluruhan siri IMAT sudah mencapai RM12.4 juta mengatasi sasaran awal RM10 juta.

“Kita yakin akan mencapai sekurang-kurangnya RM13 juta menjelang penghujung siri nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain harga murah, gabungan produk tempatan setiap negeri dan produk berstatus ikon dari luar negeri turut menarik perhatian pengunjung.

Menurut Luqman, karnival itu bukan hanya medan jualan, tetapi platform usahawan muda yang mempromosikan produk melalui media sosial selain penganjuran Jualan Madani dan Jualan Murah Rahmah bagi membantu golongan B40.

“Kita padukan produk lokal dengan yang lebih viral supaya ia lebih menarik minat pengunjung,” katanya.

Ringkasan AI

  • Karnival Industri Makanan dan Asas Tani IMAT 2025 tarik ribuan pengunjung dengan diskaun hingga 30 peratus untuk barangan asas dan makanan
  • Tawaran harga rendah untuk barangan segar dan keperluan asas sebagai usaha membantu orang ramai
  • Lebih 25,000 pengunjung menyokong 130 usahawan menyertai karnival, meningkatkan pendapatan dan ekonomi pertanian
  • Nilai jualan keseluruhan siri IMAT sudah mencapai RM12.4 juta, melebihi sasaran awal RM10 juta
  • Karnival sebagai platform bagi usahawan muda promosi produk dan membantu golongan B40 melalui Jualan Madani serta Jualan Murah Rahmah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!