'Kami hanya fokus nak menang'

SKUAD bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara enggan membiarkan isu luar padang mengganggu fokus serta moral pasukan menjelang aksi pembukaan Sukan SEA di Thailand.
Tonggak pertahanan negara, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri menegaskan, tumpuan skuad Harimau Muda ketika ini terarah sepenuhnya kepada aksi di atas padang dan misi memburu kemenangan bermula dengan pertemuan menentang Laos, Sabtu ini.
Jelasnya, pemain tidak seharusnya memikirkan perkara yang tidak berkaitan dengan perlawanan demi memastikan rentak permainan tidak terjejas.
"Kami akan kekal fokus kepada cara kami menterjemahkan persembahan di atas padang. Apa yang berlaku di luar padang sebenarnya saya sarankan kepada semua supaya tidak perlu ambil pusing.
"Fokus kita hanyalah bagaimana kita hendak menang dan cara kita bermain," katanya.
Terdahulu, kem negara sedikit terpalit dengan isu hukuman FIFA membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang turut memberi kesan tempias kepada skuad muda negara.
Malah, kegagalan dalam dua kejohanan sebelum ini iaitu Piala ASEAN B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23 masih berbekas, sekali gus mengundang persepsi negatif mengenai kemampuan skuad ini untuk melangkah jauh di pentas Sukan SEA.
Mengulas mengenai tekanan dan kritikan, Aysar Hadi tetap positif dengan mentaliti rakan sepasukannya.
"Saya optimis kami sudah bersedia. Kami bersedia berdepan sebarang kritikan, kecaman atau mesej yang diberikan daripada media mahupun penyokong," ujarnya.
Skuad B-23 negara yang diundi dalam Kumpulan B akan membuka tirai saingan pada Sabtu ini menentang Laos, sebelum membuat perhitungan dengan Vietnam pada 11 Disember depan di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Mengikut format kejohanan, hanya juara kumpulan dan satu pasukan naib juara terbaik layak mara ke separuh akhir.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi ibu segala pingat emas acara bola sepak Sukan SEA ialah pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.
Ringkasan AI
- SKUAD bola sepak Bawah 23 tahun negara enggan membiarkan isu luar padang mengganggu fokus serta moral pasukan
- Tumpuan skuad Harimau Muda ketika ini terarah sepenuhnya kepada aksi di atas padang dan misi memburu kemenangan
- Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri menegaskan pemain tidak seharusnya memikirkan perkara yang tidak berkaitan dengan perlawanan
- Kem negara sedikit terpalit dengan isu hukuman FIFA dan kegagalan dalam dua kejohanan sebelum ini
- Skuad B-23 negara akan membuka tirai saingan menentang Laos dan perlu menjadi juara kumpulan atau naib juara terbaik untuk mara ke separuh akhir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
