MAHA 2026 bakal meterai MoU, MoA bernilai RM8 bilion

Mohamad (dua dari kiri) melakukan gimik perasmian Majlis Prapelancaran MAHA 2026 di MAEPS, Serdang pada Rabu. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohamad (dua dari kiri) melakukan gimik perasmian Majlis Prapelancaran MAHA 2026 di MAEPS, Serdang pada Rabu. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SERDANG - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2026 menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Persefahaman (MoA) berjumlah RM8 bilion serta nilai jualan sebanyak RM58 juta.

Penganjuran dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 itu turut menjangkakan penyertaan lebih 2,000 pempamer dan penglibatan 800,000 belia dalam pelbagai program yang disusun.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MAHA 2026 akan menawarkan pengisian lebih segar dengan pelbagai tarikan interaktif dan pameran berimpak tinggi.

Mohamad (enam dari kiri) bersama rakan strategik MAHA 2026. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohamad (enam dari kiri) bersama rakan strategik MAHA 2026. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Tahun ini kita tampilkan pengisian yang jauh lebih menyeluruh dan moden, merangkumi teknologi, inovasi serta aktiviti yang dekat dengan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Pra Pelancaran MAHA 2026 di Maeps Serdang pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.

Beliau berkata, antara tarikan utama ialah pameran bunga, pameran agrotek, fiesta makanan, pertandingan agro, persembahan laser dan air, sukan rakyat, rewang warisan, Rhythm of the Farmers (ROTF), sesi santai kopi, agropreneur muda, kiddies wonderland, agro safari dan taman burung.

“Kita mahu pengunjung merasai pengalaman baru dan lebih dekat dengan ekosistem pertanian negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad menjelaskan, MAHA 2026 berperanan menghimpunkan petani, usahawan, pelabur dan penginovasi dalam satu platform besar bagi memacu transformasi industri pertanian.

“Inilah ruang untuk memadankan peluang perniagaan, teknologi dan inovasi secara langsung,” katanya.

Pada majlis pra-pelancaran itu, KPKM turut memperkenalkan logo, maskot dan sasaran rasmi MAHA 2026 selain melancarkan pelepasan kenderaan Road to MAHA 2026 sebagai kempen jelajah ke seluruh negara.

Mohamad berkata, pemilihan tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ menggambarkan kesungguhan kerajaan membina ekosistem agromakanan yang lebih berdaya tahan dan moden.

“Fokus kita ialah keterjaminan makanan yang mampan, dan itu memerlukan penciptaan nilai baharu,” katanya.

Flag Off konvoi Pra Pelancaran MAHA 2026 di Maeps Serdang pada Rabu. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Flag Off konvoi Pra Pelancaran MAHA 2026 di Maeps Serdang pada Rabu. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau menegaskan penganjuran itu selaras Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) yang memberi penekanan kepada inovasi dan pendigitalan untuk memastikan bekalan makanan sentiasa stabil.

“DAN 2.0 bukan satu dokumen semata-mata, ia hala tuju transformasi sektor agromakanan negara,” jelasnya.

Selain itu katanya, agro pelancongan juga kekal menjadi komponen penting dalam penganjuran MAHA 2026 kerana ia merapatkan masyarakat dengan warisan desa dan hasil tempatan.

Mohamad berkata, MAHA 2026 akan membuka ruang kepada syarikat untuk mempamerkan teknologi pertanian terkini dan produk baharu kepada pasaran lebih luas.

“Kita mahu MAHA menjadi pusat rujukan kepada inovasi pertanian negara,” ujarnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2026 menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung dan nilai jualan sebanyak RM58 juta
  • Penyertaan lebih 2,000 pempamer dan penglibatan 800,000 belia dalam pelbagai program disusun
  • Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata MAHA 2026 akan menawarkan pengisian lebih segar dengan pelbagai tarikan interaktif
  • Antara tarikan utama termasuk pameran bunga, fiesta makanan, pertandingan agro dan persembahan laser
  • MAHA 2026 bertujuan menghimpunkan petani, usahawan, pelabur, dan penginovasi dalam satu platform bagi memacu transformasi industri pertanian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!