Tengku Zafrul dilantik Pengerusi MIDA

KUALA LUMPUR - Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memulakan tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa pada Rabu.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelantikan itu telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Selain menerajui MIDA, Tengku Zafrul juga akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang sedang diperinci dan diumumkan kemudian oleh Perdana Menteri," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Tengku Zafrul telah menamatkan tugas sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkuat kuasa pada Selasa selepas tempoh sebagai Senator berakhir.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan peranan Tengku Zafrul dalam mengemudi MITI, MIDA dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sebagai sangat membanggakan.
Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang kewangan dan pembangunan ekonomi pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan pada Mac 2020.
Ringkasan AI
- Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memulakan tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)
- Pelantikan itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Tengku Zafrul akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang akan diumumkan kemudian oleh Perdana Menteri
- Beliau telah menamatkan tugas sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)
- Tengku Zafrul mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan dan pembangunan ekonomi, pernah menjadi Menteri Kewangan pada Mac 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
