1,280 anggota polis siap siaga di 874 hotspot banjir di Johor

JOHOR BAHRU – Seramai 1,280 anggota dan pegawai polis bersiap sedia ketika ini bagi memantau dan bertindak di 874 hotspot banjir di seluruh negeri.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, jumlah hotspot yang tinggi di 10 daerah itu memerlukan penugasan ketat dan penempatan kekuatan secara strategik, terutamanya di lokasi yang sering terjejas setiap kali Monsun Timur Laut melanda.
“Kesemua anggota kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.
"Fokus kita adalah memastikan keselamatan rakyat di kawasan hotspot yang telah dikenal pasti,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Disember 2025.
Antara daerah yang mencatatkan jumlah lokasi banjir tertinggi di Johor adalah Batu Pahat yang merekodkan sebanyak 278 lokasi diikuti Segamat (118), Muar (99), Kota Tinggi (77) dan Pontian (70).
Daerah lain termasuk Tangkak (68), Kluang (57), Johor Bahru (51), Mersing (32) dan Kulai (24).
Sementara itu Ab Rahaman berkata, turut mengaktifkan pelbagai aset termasuk 112 kereta peronda, 92 pacuan empat roda, 46 bot, 36 enjin bot, 451 jaket keselamatan, tiga jet ski serta dua kenderaan amfibia selain sebuah helikopter Unit Udara PDRM di Subang juga bersedia untuk digerakkan ke Johor jika diperlukan.
Selain itu katanya, operasi turut disokong agensi keselamatan t lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM), Bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan serta RELA yang turut menggerakkan aset masing-masing.
"Setakat ini, tiada pembekuan cuti, namun hanya 20 peratus anggota dibenarkan bercuti pada satu-satu masa sebagai langkah memastikan kekuatan mencukupi di lapangan.
"Kepada penduduk di kawasan rendah dan hotspot dinasihatkan agar lebih peka dan bersedia untuk berpindah serta mematuhi setiap arahan pihak berkuasa.
“Ini kerana eselamatan diri dan keluarga adalah keutamaan. Ikut arahan PDRM dan agensi penyelamat supaya proses pemindahan dapat dilakukan dengan lancar,” katanya.
Ringkasan AI
- Seramai 1,280 anggota dan pegawai polis bersiap sedia untuk bertindak di 874 hotspot banjir di seluruh Johor
- Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, menyatakan penempatan anggota dilakukan secara strategik di lokasi yang sering terjejas oleh Monsun Timur Laut
- Keselamatan rakyat di kawasan hotspot menjadi fokus utama
- Pelbagai aset disediakan termasuk kereta peronda, bot, jet ski, dan helikopter untuk operasi penyelamatan
- Operasi penyelamatan disokong oleh agensi lain termasuk APMM, Bomba, JKM, Kementerian Kesihatan, dan RELA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
