Kematian Syed Danial: Bekas pekerja IT lega penjara 16 tahun dikurangkan kepada 12 tahun

PUTRAJAYA - Bekas pekerja teknologi maklumat (IT) yang dihukum penjara 16 tahun kerana menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuh Raya Utara Selatan pada 2019 lalu menangis kesyukuran selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu mengurangkan tempoh pemenjaraan kepada 12 tahun.
Isterinya yang berada di galeri awam turut kelihatan lega kerana Yew Wei Liang, 47, yang menjalani hukuman di Penjara Kajang, dijangka bebas pada 10 Ogos 2027.
Semasa prosiding, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Nordin Hassan membenarkan rayuan Wei Liang selaku perayu, untuk mengurangkan tempoh pemenjaraan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.
Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan perayu untuk meminda Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun kepada Seksyen 304(b) kanun sama dengan hukuman jel tidak kurang 10 tahun.
Panel hakim juga menolak rayuan silang oleh pendakwaan supaya mengembalikan kes itu kepada Seksyen 302 kanun sama bagi kesalahan membunuh.
Semasa membaca keputusan sebulat suara, Nordin berkata, mahkamah mengekalkan sabitan bersalah yang dijatuhi Mahkamah Tinggi yang mana ia juga dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.
"Mahkamah terdahulu tidak terkhilaf dalam membuat keputusan namun kami berpendapat, tempoh pemenjaraan itu keterlaluan dan agak tinggi.
"Jadi mahkamah mengurangkan hukuman daripada 16 kepada 12 tahun," katanya yang bersidang bersama Hakim-hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Lee Swee Seng.
Dalam prosiding ini, perayu diwakili peguam, Datuk N Sivananthan dan Nabila Habib sementara pendakwaan selaku responden dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Sivananthan berkata, anak guamnya tidak menyangka akan dibebaskan lebih awal kerana beranggapan mahkamah akan mengekalkan keputusan sama.
"Walaupun masih dikenakan hukuman penjara namun dia menangis kerana lega sekurang-kurangnya, akan dibebaskan dua tahun dari sekarang.
"Dia juga memberitahu mahu memulakan semula kehidupan baharu bersama isteri," katanya.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara selama 16 tahun terhadap perayu.
Pada 7 Disember 2023, Hakim, Julia Ibrahim menjatuhi tertuduh hukuman penjara 16 tahun selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.
Setelah menimbangkan semua faktor yang dikemukakan, Julia berpendapat, hukuman yang sesuai dan wajar ialah tertuduh dihukum penjara bermula tarikh tangkap, 10 Ogos 2019.
Pada 22 Ogos 2019, Wei Ling didakwa membunuh Syed Muhammad Danial yang juga pengurus bank di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang pada 10 Ogos tahun sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, ketika membaca keputusan kes, hakim mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Ringkasan AI
- Bekas pekerja IT dihukum 16 tahun penjara kerana menyebabkan kematian diperingkat pada 12 tahun oleh Mahkamah Persekutuan
- Isteri tertuduh lega kerana suaminya dijangka bebas pada 10 Ogos 2027
- Mahkamah mengekalkan sabitan bersalah tetapi menganggap hukuman asal keterlaluan
- Tertuduh, Yew Wei Liang, didakwa membunuh pengurus bank di Lebuh Raya Utara Selatan pada 2019
- Hukuman 16 tahun penjara dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum dikurangkan oleh Mahkamah Persekutuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

