Liverpool, Arsenal pantau 'wonderkid' Leipzig

Ouedraogo (kanan) meraikan debut dengan jaringan ketika membantu skuad senior Jerman membelasah Slovakia 6-0 pada 18 November lalu.
FOTO: Agensi
Ouedraogo (kanan) meraikan debut dengan jaringan ketika membantu skuad senior Jerman membelasah Slovakia 6-0 pada 18 November lalu. FOTO: Agensi
A
A
A

BINTANG muda RB Leipzig, Assan Ouedraogo terus mencuri tumpuan di Bundesliga selepas mempamerkan peningkatan ketara sejak menyertai kelab itu musim ini.

Ouedraogo tampil menyerlah dengan gabungan teknik kemas, visi permainan matang dan kekuatan fizikal yang mengagumkan meskipun baru berusia 19 tahun.

Dalam 12 aksi Bundesliga sebelum mengalami kecederaan hamstring, Ouedraogo sudah menjadi watak penting di jentera tengah Leipzig, bukan sahaja memberi kestabilan tetapi turut berupaya mengubah rentak perlawanan secara langsung.

Prestasinya turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila dia dipanggil buat kali pertama ke skuad senior Jerman dan meraikan debut dengan jaringan ketika membantu pasukannya membelasah Slovakia 6-0.

Pencapaian itu semakin mengukuhkan statusnya sebagai salah satu bakat muda paling lengkap di Eropah ketika ini.

Kenaikan mendadak dari akademi Schalke ke pentas utama bersama Leipzig menjadikan namanya sering diperkatakan, sekali gus membuka minat kelab-kelab gergasi yang kini mula berebut untuk mendapatkan khidmatnya.

Laporan dari Jerman mengesahkan Liverpool dan Arsenal masing-masing menghantar pencari bakat dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk memantau perkembangan terbaru pemain muda itu secara dekat.

Kehadiran dua kelab England tersebut menambah saingan selepas Manchester United dan Chelsea lebih awal mengikuti rapat aksinya bersama Leipzig.

Menurut laporan Sport Bild, pemantauan Liverpool dan Arsenal dilakukan sebelum Ouedraogo mengalami kecederaan hamstring yang diumumkan kelab baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Namun kecederaan itu tidak menggugat minat pasukan peminat kerana Leipzig menjangkakan pemain itu hanya berehat beberapa minggu sebelum kembali pada separuh kedua musim.

Kehadiran wakil pencari bakat dari kelab-kelab elit Eropah menandakan Ouedraogo sudah bersedia melangkah ke tahap lebih tinggi.

Popularitinya kini bukan lagi terhad di Bundesliga, malah menjadi buruan kelab-kelab besar Premier League yang mahu mendapatkan tandatangan pemain muda itu sebelum nilainya melonjak.

Bagaimanapun, Leipzig bukan pihak yang mudah berunding kerana Ouedraogo masih terikat kontrak hingga 2029, memberikan kelab Jerman tersebut kedudukan tawar-menawar yang sangat kukuh menjelang jendela perpindahan akan datang.

Sumber dalaman kelab menjangkakan nilai pasaran Ouedraogo boleh mencecah angka hampir menyamai rekod penjualan Josko Gvardiol bernilai sekitar €90 juta (anggaran RM465 juta) sekiranya prestasi pemain itu terus meningkat dalam satu atau dua tahun akan datang.

Ketika ini, proses rundingan hanya dijangka bermula pada musim panas dengan nilai permulaan melebihi €50 juta (anggaran RM258 juta).

Leipzig juga menegaskan mereka tidak akan membuka pintu perbincangan pada pertengahan musim memandangkan Ouedraogo dianggap tonggak penting dalam perancangan jangka panjang kelab.

Barcelona turut dilaporkan menghantar scout, sekali gus menjadikan perebutan semakin sengit.

Dengan potensi untuk menyertai skuad Jerman dalam kejohanan utama tahun depan, nilai Ouedraogo dijangka meningkat mendadak, sesuatu yang ingin dimanfaatkan sepenuhnya oleh Leipzig sebagai pulangan terhadap salah satu aset paling berharga mereka.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!