Tidak adil terus desak siasatan hanya kerana sejarah hubungan kerja - Anwar

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak adil untuk mendesak siasatan diteruskan terhadap mana-mana kes yang dikaitkan dengan bekas kakitangannya semata-mata kerana individu itu pernah mempunyai hubungan kerja dengannya, terutama apabila pihak berkuasa sudah memutuskan tiada tindakan lanjut.
Beliau merujuk kes penerokaan mineral di Sabah dikaitkan dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador yang diputuskan Timbalan Pendakwa Raya tiada kesalahan dijumpai.
Anwar turut membidas tindakan pihak mengaitkan dirinya dengan ahli perniagaan terbabit sedangkan individu itu hanya menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden PKR yang berakhir lima tahun lalu.
"Kalaulah ditekankan betul 70,000 hektar itu, maka tentunya tindakan diambil. Jadi dalam kes ini ada orang tanya mengapa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) cepat melepaskan? Kerana ia kes senang.
"Hari itu juga saya hubungi Ketua Menteri (Sabah). Saya kata anda baca? Ada ke? Ketua Menteri periksa. Jadi bila siasatan SPRM dalam kes itu tidak sukar.
"Jadi mengapa hendak diteruskan sebagai satu kegiatan rasuah semata-mata kerana orang itu ada kaitan lima atau enam tahun dulu pernah jadi kakitangan saya," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang membangkitkan mengenai pendedahan portal berita antarabangsa, Bloomberg yang mengaitkan kes di Sabah membabitkan individu paling rapat dengan Perdana Menteri.
Farhash Wafa sebelum ini dikaitkan dengan skandal perlombongan di Sabah membabitkan keluasan 70,000 hektar tanah.
Anwar turut menjelaskan tiada sebarang kelulusan tiada kelulusan diberi membabitkan membabitkan 70,000 hektar tanah itu bagi projek tersebut.
"Tiada kelulusan 70,000 hektar sama ada bukan untuk cari gali dan pemindahan. Tapi riuh rendah kata 70,000 hektar tanah diberikan kepada syarikat. Jadi ini masalah kita. Tapi yang saya hendak sebutkan apa yang dibicara oleh Larut ialah, kalau ada yang spesifik, kita siasat.
"Saya hendak jelaskan di sini. Ini soal rasuah, saya tidak tolak ansur. Saya tak boleh katakan seluruh jentera saya itu semuanya bersih, saya tidak boleh katakan. Ada maklumat, siasat," ujar beliau.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak adil mendesak siasatan kes bekas kakitangannya tanpa bukti
- Beliau merujuk kes penerokaan mineral di Sabah yang tidak mendapati kesalahan pada Datuk Seri Farhash Wafa Salvador
- Anwar membidas tindakan mengaitkan dirinya dengan Farhash yang sudah berakhir hubungan kerja lima tahun lalu
- Tiada kelulusan diberikan untuk projek perlombongan 70,000 hektar tanah di Sabah
- Anwar menekankan tiada toleransi terhadap rasuah dan akan menyiasat sebarang maklumat berkaitan rasuah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
