Lelaki cedera diserang, diugut keluarga kekasih

AMPANG - Seorang lelaki cedera diserang dan diugut keluarga teman wanitanya di sebuah rumah di Kampung Cheras Baru, di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian jam 1.40 pagi itu ketika mangsa berusia 22 tahun menghantar teman wanitanya pulang ke rumah telah berlaku perselisihan faham dengan tiga suspek.
"Abang kepada teman wanitanya kemudian memukul kaki mangsa dengan batang paip polyvinyl chloride (PVC) dan menumbuk muka sehingga berdarah.
"Bapa saudara teman wanitanya pula mengugut ingin membunuh mangsa jika membawa anak saudaranya itu keluar lagi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Khairul Anuar berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis jam 4.50 pagi untuk tindakan selanjutnya.

"Susulan itu sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan tiga lelaki dan merampas sebatang paip pada jam 4.30 petang Sabtu lalu bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek pertama dan ketiga tiada rekod jenayah lalu, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod lampau.
"Suspek direman empat hari bermula Ahad lalu sehingga esok bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki cedera diserang dan diugut keluarga teman wanitanya di Kampung Cheras Baru
- Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid mengesahkan kejadian itu
- Abang kepada teman wanitanya memukul kaki mangsa dengan batang paip PVC dan menumbuk muka
- Bapa saudara teman wanitanya mengugut ingin membunuh mangsa
- Tiga lelaki ditahan dan sebatang paip dirampas untuk membantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
