Lelaki mati ditembak: Kongsi gelap, dadah antara sudut siasatan polis

SHAH ALAM - Elemen kongsi gelap dan dadah antara aspek siasatan yang dijalankan polis berhubung kes seorang lelaki yang ditembak mati dalam pacuan empat roda oleh suspek di Taman Mesra Indah, Klang Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan menyeluruh masih dijalankan bagi mengesan suspek dan motif kejadian.
"Semakan awal mendapati mangsa ada memiliki tiga rekod kes dadah iaitu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15 akta sama.
"Mangsa berusia 26 tahun itu maut akibat lima das tembakan jarak dekat di bahagian badan menggunakan senjata pistol," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa.
Ketika ditanya adakah kes terbabit mempunyai kaitan dengan kes tembak di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang pada 7 November lalu, Shazeli berkata, pada peringkat ini kedua-dua kes ini tidak mempunyai kaitan.
"Kes ini juga masih dalam siasatan dan seorang suspek telah diberi jamin polis," ujarnya.
Sebelum itu, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat pada jam 8.35 malam berhubung kejadian tembak di Taman Mesra Indah, Klang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintenden Mohd Harman Mohd Haniff di talian 019-2100334 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di 03-33762222.
Ringkasan AI
- Elemen kongsi gelap dan dadah disiasat dalam kes lelaki mati ditembak dalam pacuan empat roda di Taman Mesra Indah, Klang
- Siasatan masih berjalan untuk mengesan suspek dan motif
- Mangsa berumur 26 tahun mempunyai rekod kes dadah
- Mangsa maut akibat lima das tembakan dari senjata pistol
- Kes ditembak di stesen minyak Bukit Tinggi, Klang tidak berkaitan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
