Polis siasat insiden penunggang motosikal pecahkan cermin kereta di Link Kedua

Tangkap layar video tular menunjukkan motosikal bernombor pendaftaran Singapura dipercayai membaling batu ke arah sebuah kereta.
Tangkap layar video tular menunjukkan motosikal bernombor pendaftaran Singapura dipercayai membaling batu ke arah sebuah kereta.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Seorang penunggang motosikal bernombor pendaftaran Singapura dipercayai membaling batu ke arah sebuah kereta di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura, di sini pada Isnin sehingga menyebabkan cermin belakang kenderaan itu pecah dan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan pemilik kereta berusia 30 tahun telah membuat laporan polis pada hari yang sama.

“Berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada kira-kira jam 8.20 pagi di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura berhampiran Plaza Tol Perling, menghala ke Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

“Pemandu kereta mendakwa dia membunyikan hon selepas penunggang motosikal itu menukar lorong secara tiba-tiba.

“Penunggang itu kemudian mengejar kereta berkenaan sebelum didakwa membaling batu ke arah cermin belakang kereta sehingga pecah,” katanya.

Jelas beliau, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang membawa hukuman penjara satu hingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya, yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Beliau turut menggesa saksi yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pusat Kawalan Polis Daerah di 07-5113622 atau talian hotline 24 jam di 07-5114486.

Sebelum itu, tular video berdurasi 24 saat yang dimuat naik menerusi Facebook menunjukkan situasi cemas apabila cermin belakang kereta pecah dan pemandu cuba mengejar penunggang motosikal berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang penunggang motosikal bernombor pendaftaran Singapura didakwa membaling batu ke arah sebuah kereta di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura sehingga memecahkan cermin belakang kenderaan itu
  • Pemilik kereta berusia 30 tahun telah membuat laporan polis pada hari yang sama kejadian berlaku
  • Kejadian berlaku berhampiran plaza tol Perling menghala ke Taman Bukit Indah, Johor Bahru pada pagi Isnin
  • Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
  • Polis menggesa saksi dengan maklumat berhubung kejadian menghubungi pusat kawalan polis daerah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!