Warga kota disantuni ‘Gelombang Merah’

Zamri (kanan) menyantuni pembaca Sinar Harian di LRT Ampang Park pada Isnin.
Zamri (kanan) menyantuni pembaca Sinar Harian di LRT Ampang Park pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Wajah baharu Sinar Harian disambut meriah menerusi program turun padang ‘Gelombang Merah’ di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang pada Isnin, sebagai usaha menyantuni warga kota sejak awal pagi.

Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, program itu membawa pendekatan lebih dekat dengan masyarakat melalui pemberian akhbar, nasi lemak dan roti percuma kepada orang ramai.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Mereka yang berpakaian merah dipilih menerima akhbar dan makanan percuma yang diedarkan di lokasi-lokasi terlibat,” katanya.

Antara pengguna LRT menerima akhbar Sinar Harian secara percuma di LRT Ampang Park pada Isnin.
Antara pengguna LRT menerima akhbar Sinar Harian secara percuma di LRT Ampang Park pada Isnin.

Zamri berkata, program tersebut turut dimeriahkan dengan peraduan di media sosial Instagram dan TikTok.

Peserta hanya perlu bergambar dengan akhbar Sinar Harian sambil memakai baju merah untuk berpeluang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.

Mengulas mengenai pembaharuan yang dilakukan, Sinar Harian kini memperkenalkan tagline baharu iaitu 'Suara Rakyat' sebagai komitmen dalam menyuarakan keperluan dan keluhan masyarakat.

“Sejak dua dekad lalu, Sinar Harian sinonim dengan tagline 'Telus dan Tulus', namun memasuki usia 20 tahun pada tahun depan, akhbar ini memilih pendekatan lebih dekat dengan rakyat melalui pelaporan berteraskan solution journalism.

Artikel Berkaitan:

“Ia memberi penekanan kepada penyelesaian dan harapan, bukan sekadar sensasi, pendekatan baharu itu menekankan setiap laporan perlu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Zamri berkata, orang ramai yang ingin mengemukakan aduan atau mengangkat isu setempat, mereka boleh menghubungi wartawan Sinar Harian di seluruh negara melalui nombor telefon serta e-mel yang tertera dalam akhbar.

“Sinar Harian komited memberi perhatian kepada setiap suara rakyat dan memastikan isu-isu yang dibangkitkan mendapat ruang yang sewajarnya,” ujarnya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai menyambut baik usaha media itu yang memberi ruang terhadap permasalahan rakyat seperti pengangkutan awam.

Peniaga, Zainal Abidin Alip berpandangan bahawa Sinar Harian mampu berperanan sebagai pemantau bebas yang menilai keberkesanan setiap janji dan pengumuman berkaitan pengangkutan awam yang dibuat oleh kerajaan serta operator.

Zainal Abidin
Zainal Abidin

“Peranan media bukan sekadar melaporkan masalah tetapi memastikan setiap komitmen yang diumumkan benar-benar dipenuhi,” katanya.

Menurutnya, kepentingan laporan susulan harus dilakukan secara berkala terutamanya selepas insiden gangguan perkhidmatan supaya agar rakyat tahu sejauh mana penambahbaikan sedang dilaksanakan.

“Dengan pemantauan berterusan, pengguna dapat menilai tahap kesungguhan pihak berwajib dalam menambah baik sistem pengangkutan awam selepas dilaporkan oleh media tempatan,” ujarnya.

Pekerja swasta, Azlan Mohd, 34, berkata, pendekatan akhbar ini mendapatkan pandangan akar umbi menjadikan laporan mereka lebih dekat dengan rakyat.

“Bila baca akhbar ini, kita rasa suara kita didengari. Mereka bukan sekadar lapor isu besar, tapi masalah masyarakat pun diberi ruang. Itu yang buat kami rasa dihargai,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna pengangkutan awam, Suriaty Sadohan mengulas muka depan Sinar Harian pada Isnin berharap masalah yang dihadapi orang ramai didengari dan diberikan perhatian oleh pihak berwajib.

Suriaty
Suriaty

“Masalah kelewatan tren hampir setiap minggu memberi kesan kepada masa dan keyakinan terhadap sistem pengangkutan awam.

“Saya berharap Sinar Harian terus menjadi platform menyuarakan suara rakyat supaya isu-isu teknikal yang berulang mendapat perhatian segera dan tidak lagi dianggap perkara biasa oleh pihak berwajib,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Hani Baharin, Sinar Harian dilihat berpotensi memainkan peranan penting penyambung maklumat yang tepat antara rakyat dan pihak berkaitan dalam isu pengangkutan awam.

Hani
Hani

“Laporan yang disampaikan perlu berasaskan fakta serta menggambarkan pengalaman pengguna secara menyeluruh.

“Oleh itu saya harap paparan suara pengguna dilaporkan secara adil dan Sinar Harian menjadi platform yang mendesak tindakan pembaikan serta memantau setiap komitmen pihak berwajib,” tegasnya.

Suri rumah, Farah Hanim Ahmad, 41, pula menyifatkan laporan khas sebagai saluran penting untuk rakyat melontarkan pandangan.

“Apabila angkat isu rakyat, sekurang-kurangnya suara kami sampai kepada pihak berkenaan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Wajah baharu Sinar Harian disambut meriah melalui program turun padang 'Gelombang Merah' di Lembah Klang
  • Program ini memberi akhbar, nasi lemak dan roti percuma kepada yang berpakaian merah
  • Peraduan di media sosial membolehkan peserta memenangi hadiah wang tunai RM10,000
  • Sinar Harian memperkenalkan tagline baru 'Suara Rakyat' dan menggunakan pendekatan 'solution journalism'
  • Orang ramai boleh menghubungi Sinar Harian untuk mengangkat isu setempat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!