KKR aktifkan bilik gerakan bencana, 145 lokasi terjejas MTL

MELAKA – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti 145 lokasi terjejas akibat bencana susulan Monsun Timur Laut (MTL), melibatkan 63 Jalan Persekutuan dan 82 Jalan Negeri setakat jam 10 pagi Ahad.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kes yang dikenal pasti melibatkan pelbagai bentuk bencana dan bukan hanya disebabkan banjir semata-mata.
“Daripada jumlah itu, kita kesan 82 lokasi banjir, 32 banjir kilat, 16 cerun runtuh, sembilan kes jalan runtuh, lima jalan mendap dan satu kes jambatan rosak,” katanya selepas meninjau insiden lubang benam di Lebuh SPA menghala ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi bilik gerakan bencana telah diaktifkan berikutan Monsun Timur Laut yang kini melanda seluruh negara.
“Bilik gerakan tersebut kini beroperasi 24 jam bagi membolehkan pemantauan dilakukan secara menyeluruh.
“Persiapan telah dilakukan lebih awal dan bilik gerakan sudah diaktifkan. Sekarang kita berada pada tahap pemantauan berterusan,” katanya.

Mengenai insiden lubang benam, beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku lewat malam Sabtu itu berpunca daripada struktur pembetung runtuh, sehingga menyebabkan mendapan pada permukaan jalan.
“Kerja-kerja pembaikan akan dibuat dengan segera. Saya difahamkan pembaikan di lokasi ini mungkin mengambil masa dua hingga tiga bulan. Namun hasil perbincangan tadi, kita putuskan untuk meneliti keseluruhan laluan ini.
“Kita tidak mahu hanya membaiki kawasan ini sedangkan mungkin bahagian lain juga mempunyai masalah. Jadi, kita bersetuju untuk meneliti keseluruhan sistem pembetung yang terletak di jalan ini,” katanya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan kejadian lubang benam berukuran kira-kira 10 meter berlaku di Jalan SPA berhampiran laluan menghala ke UTeM dekat Ayer Keroh lewat malam Sabtu.
Kejadian pada jam 11.10 malam itu berlaku di Jalan Persekutuan FT033, menyebabkan satu lorong kanan sepanjang kira-kira 300 meter ditutup kepada kenderaan atas faktor keselamatan.
Sementara itu, ditanya mengenai kejadian tanah runtuh di lereng bukit Cameron Highlands, beliau memaklumkan kawasan tersebut adalah di bawah jagaan kerajaan negeri, namun JKR sentiasa bersedia memberikan bantuan teknikal sekiranya diperlukan.
Ujarnya, pasukan JKR telah turun ke lokasi semalam untuk menyediakan laporan berkaitan kejadian, punca serta keadaan kawasan terlibat.
Ringkasan AI
- KKR mengenal pasti 145 lokasi terjejas akibat bencana Monsun Timur Laut melibatkan 63 Jalan Persekutuan dan 82 Jalan Negeri
- Bencana meliputi 82 lokasi banjir, 32 banjir kilat, 16 cerun runtuh, sembilan jalan runtuh, lima jalan mendap dan satu jambatan rosak
- Operasi bilik gerakan bencana diaktifkan dan beroperasi 24 jam untuk pemantauan menyeluruh
- Insiden lubang benam di Lebuh SPA disebabkan struktur pembetung runtuh, pembaikan mungkin mengambil masa dua hingga tiga bulan
- JKR bersedia memberi bantuan teknikal untuk kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands, merupakan tanggungjawab kerajaan negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


