Al-`Aqar Healthcare catat prestasi stabil suku ketiga 2025, didorong pembaharuan pajakan baharu

Al-'Aqar Healthcare REIT, yang merupakan REIT penjagaan kesihatan Islamik pertama di dunia, telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak 2006.
Al-'Aqar Healthcare REIT, yang merupakan REIT penjagaan kesihatan Islamik pertama di dunia, telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak 2006.
A
A
A

JLG REIT Managers Sdn Bhd, pengurus kepada Al-Aqar Healthcare Real Estate Investment Trust (Al-Aqar Healthcare REIT) pada Jumaat mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (Q3 2025).

Sepanjang tempoh berkenaan, Al-`Aqar Healthcare REIT mencatatkan pendapatan stabil sebanyak RM29.2 juta, sedikit meningkat berbanding RM28.9 juta pada suku ketiga 2024, dipacu sumbangan sewaan yang konsisten daripada keseluruhan portfolionya.

Pendapatan Harta Bersih (NPI) turut menunjukkan prestasi stabil pada RM25.5 juta, meningkat dua peratus daripada RM24.9 juta pada Q3 2024.

Peningkatan pendapatan dan NPI itu didorong terutamanya oleh pertambahan kadar sewa hasil pembaharuan pajakan melibatkan Taiping Medical Centre, KPJ Seremban Specialist Hospital, KPJ Healthcare University College serta KPJ International College of Nursing and Health Sciences yang diselesaikan pada Ogos 2025.

Al-`Aqar Healthcare REIT turut mengisytiharkan Pengagihan Seunit (DPU) sebanyak 1.73 sen bagi Q3 2025, menjadikan jumlah keseluruhan DPU bagi tempoh sembilan bulan kepada 5.20 sen.

Menurut kenyataan syarikat, keputusan itu mencerminkan keupayaan Al-`Aqar Healthcare REIT mengekalkan kualiti pendapatan melalui pengurusan aset secara aktif serta pengoptimuman kos operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-`Aqar Healthcare REIT, Zulhilmy Kamaruddin berkata, prestasi suku ketiga menunjukkan ketahanan dan kestabilan aset penjagaan kesihatan dalam portfolio mereka.

 Zulhilmy
Zulhilmy

Artikel Berkaitan:

“Kami juga menantikan permulaan sumbangan sewaan daripada bangunan baharu KPJ Ampang Puteri dan projek peluasan KPJ Penang pada suku keempat 2025, yang dijangka mengukuhkan lagi aliran pendapatan dan prestasi keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa meninjau peluang untuk mengembangkan portfolio, termasuk aset penjagaan kesihatan tajaan atau milik pihak ketiga, bagi memacu fasa pertumbuhan seterusnya bagi Al-`Aqar.

Al-'Aqar Healthcare REIT, yang merupakan REIT penjagaan kesihatan Islamik pertama di dunia, telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak 2006.

Portfolio Al-'Aqar kini merangkumi 23 hartanah bernilai RM1.64 bilion, termasuk 17 hospital, tiga pusat kesihatan, dua kolej di Malaysia serta sebuah perkampungan jagaan warga emas dan pesara di Australia.

Ringkasan AI

  • JLG REIT Managers Sdn Bhd umumkan keputusan kewangan Al-Aqar Healthcare REIT bagi suku ketiga 2025
  • Al-Aqar Healthcare REIT catat pendapatan RM29.2 juta, naik sedikit dari RM28.9 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya
  • Pendapatan Harta Bersih meningkat dua peratus kepada RM25.5 juta dari RM24.9 juta
  • Peningkatan dicapai melalui pertambahan kadar sewa dari beberapa fasilitas kesihatan
  • Pengagihan Seunit 1.73 sen untuk Q3 2025, menjadikan jumlah DPU bagi sembilan bulan 5.20 sen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!