Sembilan termasuk empat warga Thailand ditahan langgar PKP

NOORZAINY
NOORZAINY
A
A
A

KEPALA BATAS - Sembilan individu ditahan termasuk empat warga Thailand di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malam tadi.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisoner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan pertama dibuat kira-kira jam 10 malam oleh Pasukan Task Force Op Covid-19 di Jalan Permatang Sintok, Kepala Batas di sini melibatkan lima lelaki.

Menurutnya, kelima-lima lelaki tersebut dilihat berkumpul tanpa menghiraukan arahan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

"Perbuatan mereka ini jelas ingkar dengan arahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 sedangkan sebelum ini berulang kali kerajaan dan penguat kuasa mengingatkan agar semua untuk duduk di rumah.

"Hasil semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah juga dan kesemua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam kes berasingan, Noorzainy berkata, pihaknya menahan dua lelaki dan dua perempuan Thailand yang disyaki pekerja kedai makan di sebuah kedai di tepi Jalan Besar Kuala Muda, Penaga di sini.

Katanya, pemeriksaan dibuat terhadap mereka mendapati dua daripadanya gagal untuk mengemukakan pengenalan diri dan melanggar syarat pasport manakala dua lagi didapati menyalahgunakan pas lawatan

"Mereka juga didapati ingkar arahan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana berkumpul dan berada di luar kediaman.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959 dan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana semasa pemeriksaan dilakukan premis tersebut didapati masih beroperasi," katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan PKP dengan sentiasa berada di rumah.

Ini katanya, langkah tersebut bertujuan memastikan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian dan seterusnya mengelakkan wabak Covid-19 daripada terus merebak.