Sindiket sorok kontena minuman keras dalam gudang

JKDM menemukan enam kontena berisi minuman keras. Gambar kecil: Siti Mang
JKDM menemukan enam kontena berisi minuman keras. Gambar kecil: Siti Mang
A
A
A

 

 

SIBU – Taktik sindiket menyembunyikan kontena berisi minuman keras di sebuah gudang transit di sini bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa terbongkar susulan serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Isnin.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Siti Mang berkata, pihaknya menemukan enam kontena yang diletakkan di atas treler dalam serbuan pada jam 12.05 tengah malam.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kontena berkenaan membawa kepada penemuan dianggarkan 104,544 liter minuman keras dipercayai barang larangan.

“JKDM memaklumkan bahawa pemeriksaan 100 peratus ke atas semua kontena masih diteruskan bagi mengesahkan kuantiti sebenar, nilai barangan dan jumlah cukai terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Siti berkata, serbuan itu hasil risikan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Ibu Pejabat dengan bantuan JKDM Sarawak dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra).

“Pengimportan minuman keras tertakluk kepada Permit Import yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kastam berdasarkan peruntukan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Selain permit, setiap minuman keras yang memasuki negara ini wajib dilekatkan dengan setem cukai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Sindiket menyembunyikan kontena minuman keras di gudang transit di Sibu untuk elak dikesan pihak berkuasa
  • Enam kontena ditemukan dalam serbuan JKDM pada tengah malam, mengandungi 104,544 liter minuman keras
  • Serbuan dilaksanakan hasil risikan dengan bantuan JKDM Sarawak dan Pasukan Cobra
  • Pengimportan minuman keras memerlukan Permit Import dan setem cukai
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, menyeludup barang merugikan negara dan mendatangkan ancaman keselamatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!