KDN perlu jelaskan pasport dua kerakyatan 7 pemain warisan - Ramkarpal

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mendesak kerajaan mengarahkan siasatan baharu berhubung dakwaan salah laku melibatkan pemberian pasport kepada tujuh pemain warisan susulan pendedahan dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau berkata, meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menyatakan tiada unsur jenayah, dapatan FIFA jelas menunjukkan wujud persoalan serius yang perlu disiasat semula.
"Adakah kementerian akan mengarahkan PDRM dan SPRM membuka kertas siasatan baharu berdasarkan laporan tersebut?
"Sekiranya wujud unsur jenayah, adakah perancang atau 'mastermind' di sebalik skandal ini akan didedahkan dan dihadapkan ke mahkamah?" kataya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) KDN di Dewan Rakyat pada Rabu.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor menjelaskan, permohonan tujuh pemain daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan kewarganegaraan diluluskan melalui jalur naturalisasi.
Beliau memaklumkan, keputusan dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu permohonan untuk menjadi warganegara yang datang daripada kerakyatan asing.
Penghakiman penuh Badan Penghakiman FIFA menerusi 'notification of the grounds of the Decision-FDD-24394' yang ditandatangani oleh Pengarah Badan Kehakiman FIFA, Luis Villas Pires, sebaliknya mendapati FAM dan tujuh pemain kelahiran luar negara didakwa menggunakan dokumen palsu (sijil lahir datuk/nenek) untuk membuktikan asal-usul Malaysia.
Dalam pada itu Ramkarpal turut mempersoalkan bagaimana pemain terlibat boleh memperoleh pasport Malaysia sedangkan mereka didakwa masih memiliki pasport negara asal masing-masing.
"Bukankah ini bercanggah dengan dasar Malaysia yang tidak membenarkan pemilikan dua kerakyatan?
"Adakah KDN bersedia menarik balik pasport yang dikeluarkan, mengambil kira penemuan FIFA yang disahkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS)," ujarnya.
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mendesak kerajaan untuk siasat semula dakwaan salah laku dalam pemberian pasport kepada pemain warisan
- Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum ini tiada dapati unsur jenayah, namun FIFA mendapati persoalan serius
- Menteri Dalam Negeri menjelaskan tujuh pemain mendapat kewarganegaraan melalui jalur naturalisasi mengikut Perlembagaan Persekutuan
- FIFA mendapati FAM dan tujuh pemain menggunakan dokumen palsu untuk membuktikan asal-usul Malaysia
- Ramkarpal mempersoalkan pemilikan pasport Malaysia oleh pemain yang memiliki pasport negara asal dan kesediaan KDN menarik balik pasport tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

