Skuter buatan China dan dilema hati kecil ini

Hari ini keluarnya siri 'Plus', minggu depan pula 'Ultra', bulan depan entah muncul 'Max Turbo Infinity'. Gambar hiasan. Foto media sosial
Hari ini keluarnya siri 'Plus', minggu depan pula 'Ultra', bulan depan entah muncul 'Max Turbo Infinity'. Gambar hiasan. Foto media sosial
A
A
A

MERAK Jalanan sejak akhir-akhir ini asyik termenung di depan skrin telefon. Bukan apa, kiri kanan naik gambar skuter buatan China. Cantik, moden, harga pun nampak mesra poket. Hati pun mula berbisik, “Eh... macam berbaloi ni.”

Tapi belum sempat niat membeli itu dipacak betul-betul, muncul pula model baharu setiap dua tiga minggu.

Hari ini keluarnya siri 'Plus', minggu depan pula 'Ultra', bulan depan entah muncul 'Max Turbo Infinity'.

Merak Jalanan pun naik serabut nak ikut perkembangan. Sudahnya, Merak Jalanan jadi pemerhati setia di media sosial. Scroll, baca ulasan, senyum sendiri, sambung scroll lagi.

Dilema bukan soal harga saja kerana kelebihannya memang ketara. Rekaan futuristik, teknologi canggih, prestasi enjin semakin mantap, sesuai untuk perjalanan harian.

Malah ada model yang boleh sambung aplikasi telefon macam motosikal zaman impian 'Tony Stark'.

Namun sisi negatifnya tetap wujud. Orang kata alat ganti kadang-kadang susah dicari, ada yang bimbang ketahanan, sebahagian pula pelik memikirkan bila terlalu banyak model keluar, nilai jual semula bagaimana?

Faktor beginilah yang membuatkan hati Merak Jalanan sekejap terbuka, sekejap tertutup semula.

Pun begitu, stigma terhadap skuter China kini makin menipis. Ramai pengguna sudah tunjuk bukti perjalanan harian mereka lancar tanpa masalah besar.

Artikel Berkaitan:

Servis pun banyak kedai mula belajar uruskan, malah komuniti pengguna semakin aktif berkongsi tip.

Jadi, apa keputusan Merak Jalanan? Setakat hari ini... masih memerhati, menyemak satu demi satu model yang muncul macam cendawan lepas hujan.

Tapi jauh di sudut hati, keinginan itu tetap ada, hanya tunggu masa sesuai.

Siapa tahu, mungkin hujung tahun nanti Merak Jalanan pun akhirnya muncul di jalan raya menunggang skuter China yang menjadi bualan ramai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!