Presiden ANGKASA bawa misi penting ke Perhimpunan Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik

PENYERTAAN Malaysia dalam Perhimpunan Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (International Cooperative Alliance Asia and Pacific - ICA-AP) 2025 kali ke-17 dari 24 hingga 28 November 2025 di Colombo Sri Lanka penting bagi memastikan suara gerakan koperasi Malaysia terus didengar dalam pembentukan dasar serantau.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah yang mengetuai delegasi Malaysia seramai 85 orang ke perhimpunan berkenaan berkata, Malaysia perlu memainkan peranan aktif berikutan rantau Asia Pasifik sedang berdepan perubahan ekonomi yang besar sekali gus memerlukan model pembangunan lebih inklusif dan berpaksikan kepentingan masyarakat.
"Dalam konteks ini koperasi dilihat sebagai mekanisme yang mampu menstabilkan ekonomi dan menyokong kesejahteraan rakyat.
"ANGKASA yakin bahawa kehadiran delegasi Malaysia di Colombo akan membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu serta memperkukuh kedudukan negara sebagai rakan utama dalam rangkaian koperasi Asia Pasifik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, perhimpunan ini juga merupakan satu langkah signifikan memperluas kerjasama teknikal, pembentukan dasar dan memperluas jaringan perdagangan antara negara anggota Asia Pasifik.
Selain mengetuai delegasi Malaysia yang disertai dua buah agensi kerajaan iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta 13 buah koperasi pelbagai sektor, Abdul Fattah juga terlibat dalam sesi pemilihan Ahli Lembaga ICA-AP yang akan diadakan pada 27 November 2025, mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden ICA-AP.
Sejak dipilih sebagai Naib Presiden ICA-AP pada pemilihan lalu, Abdul Fattah membawa suara gerakan koperasi Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi melalui penyertaan aktif dalam mesyuarat serantau serta sesi libat urus bersama negara anggota.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju koperasi serantau yang memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus pembangunan koperasi termasuk belia serta agenda pemerkasaan wanita.
Peranan ini membuka lebih banyak ruang kerjasama rentas negara selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara pemimpin utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor koperasi di rantau Asia Pasifik.
Perhimpunan dwitahunan anjuran Ikatan Koperasi Antarabangsa - Asia dan Pasifik (ICA-AP) ini dianjurkan dengan kerjasama National Co-operative Council of Sri Lanka (NCCSL) selaku tuan rumah rasmi menghimpunkan wakil kerajaan, pemimpin koperasi, pembuat dasar dan tokoh akademik dari lebih 30 negara.
Delegasi Malaysia dijadual mengambil bahagian dalam sesi pleno, dialog dasar, seminar tematik dan perbincangan strategik yang merangkumi pelbagai aspek pembangunan koperasi.
Antara beberapa acara penting yang akan disertai oleh delegasi Malaysia pada perhimpunan ini termasuk Persidangan Penyelidikan ICA-AP Kali Ke-19, Bengkel Penyelidik Muda dan Penyelidik Baharu, Perbincangan Meja Bulat anjuran Platform Pembangunan Koperasi Asia Pasifik (APCDP), Mesyuarat Lembaga Serantau ICA-AP (Regional Board Meeting) dan Mesyuarat Majlis Malaysian Business Office (MBO) yang turut diadakan bagi menyelaras isu keahlian, yuran, hubungan antarabangsa dan penyertaan negara-negara anggota.
Delegasi Malaysia juga akan terlibat aktif dalam mesyuarat sektoral ICA-AP yang merangkumi Mesyuarat Jawatankuasa Pertanian dan Alam Sekitar (ICAE), Mesyuarat Jawatankuasa Kredit dan Perbankan, Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Pengguna serta Mesyuarat Jawatankuasa Koperasi Belia (ICYC).
Keempat-empat sesi ini turut merangkumi proses pemilihan jawatankuasa baharu bagi penggal seterusnya.
Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Wanita, Mesyuarat Jawatankuasa Koperasi Institusi Pendidikan (ICEI), Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan serta beberapa seminar tematik turut diadakan untuk mengukuhkan perkongsian dasar dan kerjasama teknikal antara negara anggota.
Selain penyertaan dalam mesyuarat sektoral, delegasi Malaysia juga akan berada dalam beberapa sesi utama perhimpunan termasuk Majlis Pembukaan Bersama Perhimpunan Serantau ICA-AP Ke-17 dan Forum Koperasi Ke-12, Sesi Pleno Pembukaan bertemakan 'Cooperatives as Catalysts for Better Future' serta tiga sesi perbincangan paralel berkaitan pembiayaan koperasi, dasar progresif dan penjenamaan koperasi.
Delegasi turut dijadual menghadiri Majlis Anugerah Asia Pacific Cooperative Excellence Awards 2025 yang meraikan pencapaian koperasi cemerlang di rantau ini.
Penglibatan ini menggambarkan komitmen Malaysia untuk terus berada di barisan hadapan dalam perbincangan strategi pembangunan koperasi Asia Pasifik.
Dalam pada itu, Abdul Fattah turut dijadual menghadiri beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin koperasi dari negara Asia Pasifik bagi meneroka ruang kerjasama dalam pelbagai sektor berimpak tinggi seperti pertanian moden, pembangunan produk halal, ekonomi komuniti dan kewangan koperasi.
Perbincangan ini akan membantu Malaysia memperluas akses pasaran serta membina rangkaian dagang yang lebih terancang untuk koperasi yang ingin berkembang ke peringkat antarabangsa.
Ringkasan AI
- Penyertaan Malaysia dalam Perhimpunan Serantau ICA-AP 2025 di Sri Lanka penting untuk suara gerakan koperasi Malaysia didengari
- Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, terdiri daripada 85 orang
- Perhimpunan bertujuan memperluas kerjasama teknikal dan pembentukan dasar dalam gerakan koperasi
- Abdul Fattah mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden ICA-AP dan membawa suara gerakan koperasi Malaysia ke peringkat lebih tinggi
- Perhimpunan menghimpunkan wakil kerajaan, pemimpin koperasi, pembuat dasar dan tokoh akademik dari lebih 30 negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

