Pertembungan air sungai, laut bukan petanda ancaman banjir besar

KUALA TERENGGANU - Fenomena pertembungan air keruh sungai dan air laut yang tular di media sosial baru-baru ini bukan petanda ancaman banjir besar sebaliknya merupakan keadaan semula jadi yang berlaku ketika musim hujan.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir Osman Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai gambar memaparkan perbezaan warna air yang ditularkan di media sosial pada Ahad.
Jelasnya, situasi berlaku apabila aliran air tawar yang membawa sedimen dari Lembangan Sungai Terengganu termasuk Sungai Telemong, Sungai Berang, Sungai Tersat, Sungai Nerus dan Sungai Tok Jiring mengalir keluar ke laut melalui Sungai Terengganu.
"Warna air yang berbeza serta berlapis ini berlaku akibat kelodak dan peningkatan kadar aliran sungai selepas hujan lebat di kawasan hulu.
"Fenomena ini tidak menandakan ancaman segera, namun ia menjadi indikator bahawa sistem sungai sedang menanggung beban aliran lebih tinggi daripada biasa," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Menurutnya, masyarakat tidak perlu panik kerana pemantauan rapi sedang dijalankan melalui rangkaian stesen telemetri, rondaan lapangan serta kerjasama agensi berkaitan.
"Walaupun beberapa kawasan rendah seperti Kampung Pulau Rusa dan Losong pernah terjejas akibat kombinasi hujan lebat dan air pasang, langkah mitigasi dan amaran awal akan dikeluarkan sekiranya situasi berisiko," jelas beliau.
Katanya, JPS turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sepanjang Monsun Timur Laut, merujuk maklumat rasmi daripada agensi berautoriti, serta mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
"JPS Terengganu akan terus memastikan keselamatan penduduk menjadi keutamaan dan perkembangan semasa akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa," katanya.
Pada Ahad tular gambar di media sosial memaparkan pertembungan air sungai dan laut.
Hantaran itu mendakwa situasi itu mengundang risiko besar kepada penghuni di sepanjang laluan sungai jika berlaku air pasang dan hujan lebat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
