Polis bongkar makmal dadah, tahan 2 suspek termasuk ahli kimia

GEORGE TOWN - Polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah jenis heroin yang beroperasi di sebuah rumah di Bukit Mertajam dalam serbuan yang dijalankan pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, pembongkaran itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai ahli kimia dan ‘runner’ sindiket berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit ditangkap oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang melalui dua serbuan berasingan antara jam 4 petang kelmarin sehingga 5 pagi pada Sabtu.
"Serbuan pertama di Seberang Perai Tengah membawa kepada tangkapan seorang lelaki yang bertindak sebagai ahli kimia dan dipercayai memproses heroin di rumah berkenaan.
"Hasil soal siasat terhadap suspek pertama membawa kepada serbuan kedua di Kulim, Kedah, yang membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berperanan sebagai runner dalam sindiket tersebut," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Ahad.
Azizee berkata, dalam serbuan itu, polis merampas tiga bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk disyaki heroin base seberat 400 gram, selain bahan kimia cecair, peralatan memproses dadah serta sebuah motosikal.
Katanya, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Ogos lalu.
"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah.
"Kesemua dadah yang dirampas dan sitaan harta dianggarkan bernilai RM130,400.
"Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari sehingga 28 November bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Ringkasan AI
- Polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah jenis heroin di Bukit Mertajam
- Dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai ahli kimia dan 'runner' sindiket dadah ditahan
- Serbuan membawa kepada pembongkaran makmal dan penahanan suspek dijalankan antara jam 4 petang hingga 5 pagi
- Polis merampas 400 gram heroin, bahan kimia, peralatan dan sebuah motosikal
- Sindiket ini dipercayai aktif sejak Ogos tahun lalu dan kedua-dua suspek positif dadah serta mempunyai rekod jenayah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


