Cubaan pindahkan 35,000kg mineral dipercayai 'feldspar' gagal

TEMERLOH – Cubaan membawa keluar kira-kira 35,000 kilogram (kg) mineral dipercayai 'feldspar' bernilai RM28,000 secara tidak sah gagal selepas sebuah treler ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanchang di sini pada Rabu.
PGA Briged Tenggara menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan, rampasan tersebut dibuat dalam Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) selepas menahan treler yang dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun kira-kira jam 5.30 petang.
"Ketika ditahan, treler itu dalam perjalanan dari Temerloh menuju Kluang, Johor dan hasil bumi itu dipercayai berasal dari lombong di Bukit Damar, dekat Lanchang.
"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu treler mengemukakan dokumen yang meragukan mengenai mineral yang dibawa," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan awal mendapati treler terbabit milik sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan mengangkut barang, sementara pemandu yang ditahan hanyalah pekerja.
PGA Briged Tenggara memaklumkan, susulan itu, treler dan muatan mineral berkenaan dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM428,000.
"Pemandu dan semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh sebelum diserahkan kepada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk tindakan sitaan," jelas kenyataan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 153 Enakmen Mineral 2001 Pahang kerana memperoleh mineral secara tidak sah, yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih lima kali ganda jumlah royalti atau tiga kali ganda nilai rampasan mineral.
Ringkasan AI
- Cubaan membawa keluar 35,000 kg mineral 'feldspar' bernilai RM28,000 secara tidak sah digagalkan oleh PGA di Temerloh
- Treler yang membawa mineral tersebut ditahan dalam Op Bersepadu Khazanah bersama UPNP
- Treler dalam perjalanan dari Temerloh ke Kluang, Johor dengan mineral dari Bukit Damar
- Pemandu treler mengemukakan dokumen yang meragukan mengenai muatan mineral
- Treler dan muatan dirampas dengan nilai keseluruhan RM428,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 153 Enakmen Mineral 2001 Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

