Lelaki menang pertandingan baring, 33 jam atas tilam tanpa bangun

BAOTOU – Seorang lelaki memenangi pertandingan unik berbaring paling lama selepas berjaya berada di atas tilam selama 33 jam 35 minit tanpa bangun dalam satu acara yang menarik perhatian ribuan penonton secara langsung.
Pertandingan yang berlangsung pada 15 November di sebuah pusat membeli-belah di Bandar Baotou, wilayah Mongolia Dalam itu diinspirasikan oleh gerakan sosial popular di China yang dikenali sebagai 'lying flat'.
Fenomena itu merujuk kepada gaya hidup menolak tekanan sosial dan standard tinggi dalam masyarakat, sebaliknya memilih untuk hidup santai dan minimum.
Peserta dikehendaki berbaring di atas tilam sepanjang pertandingan tapi dibenarkan untuk berguling, membaca buku, makan atau menggunakan telefon pintar,
Bagaimanapun, peserta tidak dibenarkan bangun atau menggunakan tandas.
Pemenang ditentukan berdasarkan siapa yang mampu bertahan paling lama.
Dalam 24 jam pertama, 186 peserta telah tersingkir. Peraturan semakin ketat dan selepas 30 jam, hanya beberapa peserta yang masih bertahan.
Pada jam ke-33, tinggal tiga peserta, dan akhirnya seorang lelaki diumumkan sebagai pemenang selepas 33 jam 35 minit.
Menurut laporan media tempatan, pemenang memakai lampin untuk mengelakkan perlu ke tandas, langkah yang turut diambil oleh peserta lain tanpa menyebabkan sebarang penalti.
Hadiah yang dimenangi ialah 3,000 yuan (RM 1,745 ), manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima 2,000 yuan (RM 1,163 ) dan 1,000 yuan (RM582).
Acara itu menjadi tular di China dengan jutaan penduduk menonton siaran langsung sepanjang tempoh pertandingan, sekali gus menunjukkan sambutan hangat terhadap fenomena berbaring dalam kalangan masyarakat. -Agensi
Ringkasan AI
- Seorang lelaki menang pertandingan unik berbaring selama 33 jam 35 minit di Baotou, Mongolia Dalam.
- Pertandingan ini diilhamkan dari gerakan sosial di China yang dikenali sebagai 'lying flat'.
- Peserta boleh berguling, membaca buku, makan, atau menggunakan telefon tapi tidak boleh bangun atau ke tandas.
- Pemenang menggunakan lampin untuk mengatasi larangan ke tandas dan memenangi 3,000 yuan.
- Acara menarik perhatian jutaan penonton secara langsung, menunjukkan populariti fenomena 'lying flat'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

