Letupan kilang gam di Pakistan ragut 16 nyawa

Letupan berlaku sekitar jam 5 pagi waktu tempatan di kawasan perindustrian Malikpur, terletak di barat Lahore, wilayah Punjab. -Foto Reuters
Letupan berlaku sekitar jam 5 pagi waktu tempatan di kawasan perindustrian Malikpur, terletak di barat Lahore, wilayah Punjab. -Foto Reuters
A
A
A

ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya 16 maut manakala tujuh lagi cedera dalam satu letupan dahsyat di sebuah kilang pembuatan gam di Faisalabad, Pakistan awal pagi Jumaat, menurut laporan media tempatan dan antarabangsa.

Letupan berlaku sekitar jam 5 pagi waktu tempatan di kawasan perindustrian Malikpur, terletak di barat Lahore, wilayah Punjab.

Menurut Al Jazeera, siasatan awal mendapati letupan berpunca daripada kebocoran gas di gudang bahan kimia kilang berkenaan, yang kemudiannya mencetuskan kebakaran besar dan meranapkan struktur bangunan serta beberapa rumah berhampiran.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa pasukan penyelamat masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

Beberapa mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah puing bangunan.

Sementara itu, laporan Hindustan Times menyebut bahawa pihak polis telah menahan pengurus kilang untuk siasatan lanjut, manakala pemilik kilang dilaporkan melarikan diri sejurus selepas kejadian.

Insiden ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan industri di Pakistan, khususnya dalam sektor perkilangan yang sering dikaitkan dengan pengabaian piawaian keselamatan dan penyelenggaraan peralatan.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar letupan serta tahap pematuhan kilang terhadap peraturan keselamatan industri. - Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!