Jenamakan durian Raja Buah ASEAN

Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam mempunyai ekosistem geografi serta iklim sesuai untuk menjadikan durian sebagai komoditi bernilai tinggi. Gambar kecil: Nordin
Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam mempunyai ekosistem geografi serta iklim sesuai untuk menjadikan durian sebagai komoditi bernilai tinggi. Gambar kecil: Nordin
A
A
A

IPOH - Durian perlu diangkat sebagai produk identiti serantau dan dijenamakan sebagai Raja Buah ASEAN bagi memperkukuh industri serta memanfaatkan potensi komersialnya di peringkat global.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, meskipun setiap negara mempunyai dasar tersendiri dalam menentukan buah-buahan kebangsaan, durian wajar dianggap sebagai aset bersama rantau ini kerana sejarah, ekologi dan industri pengeluarannya telah lama menghubungkan negara-negara Nusantara.

Beliau berkata, empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan kini Vietnam mempunyai ekosistem geografi serta iklim sesuai untuk menjadikan durian sebagai komoditi bernilai tinggi sehingga mampu menembusi pasaran Asia dan antarabangsa.

“Setiap negara bebas menjadikan durian buah kebangsaan masing-masing namun kita patut melihatnya dalam dimensi lebih besar iaitu bagaimana durian boleh menjadi produk identiti ASEAN.

“Durian bukan hanya dimakan segar tetapi boleh diproses kepada pelbagai produk nilai tambah malah ada kajian menyentuh potensi perubatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kerajaan Indonesia bahawa negaranya mempunyai asas yang jauh lebih kukuh berbanding Malaysia untuk menobatkan durian sebagai buah kebangsaan.

Sementara itu, Nordin berkata, penyelidikan terhadap biji, isi dan kulit durian telah pun dijalankan di beberapa negara sekali gus membuka ruang kepada pembangunan produk kecantikan, makanan ringan dan bahan berasaskan bioteknologi.

Tambah beliau, usaha pembentukan blok pengeluaran durian ASEAN telah dibincangkan bersama wakil industri di Thailand sempena penganjuran Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 di daerah Perak Tengah baru-baru ini.

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Durian perlu diangkat sebagai produk identiti serantau dan dijenamakan sebagai Raja Buah ASEAN
  • Empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam mempunyai ekosistem yang sesuai untuk menjadikan durian sebagai komoditi bernilai tinggi
  • Durian boleh diproses menjadi pelbagai produk nilai tambah dan memiliki potensi perubatan
  • Penyelidikan telah dijalankan terhadap biji, isi dan kulit durian untuk pembangunan produk kecantikan, makanan ringan dan bahan berasaskan bioteknologi
  • Usaha pembentukan blok pengeluaran durian ASEAN dibincangkan bersama wakil industri di Thailand sempena Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!