Kastam rampas tiga kontena minuman keras bernilai RM2.71 juta

BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk tiga kontena minuman keras yang dianggarkan bernilai lebih RM2.71 juta pada 16 Oktober lalu.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, kejayaan tersebut adalah hasil pemeriksaan yang dilakukan pihaknya di Pelabuhan Klang.
Menurutnya, pemeriksaan dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Negeri ke atas tiga kontena yang diikrarkan sebagai mengandungi amonia bikarbonat.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah 116,952 tin bir import di dalam muatan kontena terbabit.
“Ketiga-tiga kontena yang disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Timur itu telah diimport masuk oleh sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Cheras,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Kastam, Bagan Jermal, di sini pada Khamis.
Rohaizad berkata, anggaran keseluruhan rampasan termasuk nilai cukai dan duti mencecah RM2,713,468.56.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat.
“Siasatan dibuat mengikut tiga peruntukan di bawah Seksyen 52(1), Seksyen 52(3), dan Seksyen 52(4) Akta Kastam 1967.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tinggi atau penjara mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tambahnya.
Ringkasan AI
- JKDM mematahkan cubaan menyeludup masuk tiga kontena minuman keras bernilai lebih RM2.71 juta
- Kejayaan ini hasil pemeriksaan yang dilakukan di Pelabuhan Klang
- Kontena-kontena tersebut kononnya mengandungi ammonia bikarbonat tapi sebenarnya berisi 116,952 tin bir import
- Minuman keras tersebut disyaki diimport dari sebuah negara di Asia Timur oleh sebuah syarikat tempatan di Cheras
- Siasatan dibuat mengikut tiga seksyen Akta Kastam 1967 dan terlibat boleh dikenakan denda tinggi atau penjara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

