X

Kindly register in order to view this article
!

KPWKM wujud talian khas kaunseling Covid-19

Rina
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan Talian Khas Kaunseling Covid-19 bagi memberi sokongan psikologi kepada orang ramai yang terkesan dengan penularan wabak itu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan telekaunseling itu diwujudkan melalui Talian Kasih 15999 dan WhatsApp Talian Kasih 019-2615999.

Menurutnya, perkhidmatan itu melibatkan seramai 528 kaunselor di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

"Pemanggil yang memerlukan perkhidmatan telekaunseling akan dipanjangkan kepada pegawai kaunselor yang berdekatan bagi membincangkan masalah yang dihadapi berkaitan Covid-19 dan kesan PKP. Ini bagi memastikan kesihatan mental rakyat Malaysia sentiasa di tahap yang stabil," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Talian Khas Kaunseling Covid-19 itu dibuka kepada mangsa Covid-19, waris mangsa, petugas pusat kuarantin, hospital dan lain-lain individu yang terkesan dengan PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April.

"Perkongsian masalah dan khidmat telekaunseling diharapkan dapat membantu semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) bagi mengelakkan lain-lain masalah sosial seperti penderaan dan keganasan rumah tangga dalam masyarakat berlanjutan sehingga boleh meningkatkan pelbagai risiko keselamatan," katanya.

Rina berkata, perkhidmatan itu beroperasi selama 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. - Bernama