ADUN Kedah bebas tuduhan kesalahan Lembaga Disiplin Bersatu

ALOR SETAR – Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pendang, Abdul Razak Khamis dibebaskan daripada semua tuduhan salah laku disiplin selepas melalui proses siasatan Lembaga Disiplin parti itu.
Perkembangan tersebut disahkan beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kepada Sinar Harian pada Rabu.
Abdul Razak telah menerima surat Lembaga Disiplin parti parti tersebut pada Isnin yang membebaskan beliau daripada sebarang sabitan salah laku disiplin.
Terdahulu, beliau juga turut berkongsi perkara berkenaan menerusi kenyataan di laman media sosial rasminya pada Selasa.
“Alhamdulillah. Akhirnya kebenaran menemui sinarnya. Saya telah menerima surat daripada Lembaga Disiplin parti yang memutuskan membebaskan saya daripada sebarang sabitan salah laku disiplin.
"Syukur, berkata benarlah walaupun pahit jika mahu parti ini terus berada di persada politik tanah air,” tulisnya.
Keputusan tersebut sekali gus menjawab dakwaan sebelum ini kononnya beliau melakukan serangan terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Terdahulu, pada September lalu, Abdul Razak dipanggil memberikan keterangan kepada Lembaga Disiplin susulan kenyataannya di media sosial yang menyentuh beberapa pandangan Tun Faisal berkaitan hubungan parti itu dengan rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau bagaimanapun menegaskan kenyataannya sekadar teguran supaya Tun Faisal lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan umum yang boleh menjejaskan sentimen parti lain, khususnya Pas.
Abdul Razak secara terbuka menyifatkan beberapa kenyataan Tun Faisal sebagai berpotensi menyinggung rakan komponen dan menimbulkan persepsi Bersatu mahu bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam PN.
Ringkasan AI
- Ketua Bahagian Bersatu Pendang, Abdul Razak Khamis dibebaskan daripada semua tuduhan salah laku disiplin oleh Lembaga Disiplin parti
- Beliau juga merupakan ADUN Sungai Tiang dan Timbalan Speaker DUN Kedah
- Abdul Razak telah menerima surat pembebasan dari Lembaga Disiplin pada Isnin
- Beliau menyatakan kebenaran akhirnya terbukti menerusi kenyataan di media sosial
- Pembebasan tersebut menjawab dakwaan Abdul Razak menyerang Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

