Insiden gaduh di sekolah: KPM tidak kompromi salah laku pelajar - Fadhlina

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pendirian tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pelajar susulan kejadian pergaduhan yang berlaku di sebuah sekolah di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa kejadian itu berlaku akibat salah faham antara beberapa pelajar sebelum tindakan pantas diambil oleh pihak sekolah dan pihak berkuasa.
“Empat pelajar yang terlibat telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
"KPM akan mengambil tindakan tegas berdasarkan hasil siasatan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Fadhlina turut mengarahkan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk segera melaksanakan program intervensi yang bersesuaian bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan satu kejadian pergaduhan yang tular di media sosial selepas rakaman video menunjukkan seorang pelajar dipukul oleh beberapa rakannya di sebuah bilik darjah.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada waktu rehat dan telah disedari oleh guru bertugas tidak lama selepas insiden berlaku.
Mangsa dikatakan mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan.
Motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham berkaitan isu peribadi, namun siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak polis bagi menentukan punca sebenar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

