Kes pecah rumah pempengaruh, pasangan tunang dicekup

Tangkap layar video rakaman yang dikongsi seorang pempengaruh selepas kediamannya di Sungai Long, Kajang dipecah masuk. Gambar kecil: Naazron
Tangkap layar video rakaman yang dikongsi seorang pempengaruh selepas kediamannya di Sungai Long, Kajang dipecah masuk. Gambar kecil: Naazron
A
A
A

KAJANG - Pasangan tunang dicekup pada Isnin dipercayai terlibat kes pecah masuk kediaman pempengaruh di Bandar Sungai Long di sini hingga mengalami kerugian hampir RM360,000.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pasangan berusia 21 dan 37 tahun itu ditahan antara jam 10.30 pagi hingga 2.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurutnya, suspek lelaki merupakan pekerja swasta, manakala suspek wanita tidak bekerja dan disyaki terlibat dalam kes terbabit.

"Polis turut merampas dua telefon bimbit selain semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing memiliki dua rekod lampau kes narkotik.

"Suspek lelaki direman dua hari, manakala tunangnya direman sehari untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Naazron
Naazron

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek lain yang terlibat dan mengesan barang kes bagi kes tersebut.

Tegas Naazron, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian berkenaan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Sharulhasram Ramli di talian 017-2530380 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum itu melaporkan polis menerima laporan kejadian pada jam 9.03 pagi Ahad lalu.

Barang yang hilang ialah barang kemas, empat unit topi keledar jenama Shoei dan Arai selain dua motosikal jenis Yamaha RX-Z dan Yamaha LC135 V8 dianggarkan bernilai hampir RM360,000.

Ketika kejadian tiada penghuni di kediaman terbabit.

Ringkasan AI

  • Pasangan tunang dicekup kerana pecah masuk kediaman pempengaruh di Bandar Sungai Long dengan kerugian hampir RM360,000
  • Pasangan berusia 21 dan 37 tahun ditahan oleh polis Kajang dengan bantuan IPK Selangor
  • Suspek lelaki adalah pekerja swasta dan wanita tidak bekerja, keduanya memiliki rekod narkotik
  • Polis merampas dua telefon bimbit daripada suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan
  • Barang yang hilang termasuk barang kemas, empat topi keledar dan dua jenis motosikal Yamaha, dengan tiada penghuni di rumah semasa kejadian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!