PRN Sabah: SPR sahkan calon PH kekal atas kertas undi DUN Silam

KOTA KINABALU - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan kekal sebagai bertanding meskipun menyatakan hasrat menarik diri selepas hari penamaan calon.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya mengambil maklum hasrat penarikan diri itu namun menegaskan bahawa ia tidak dibenarkan menurut peraturan sedia ada.
Beliau berkata, mengikut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, tiada seorang calon pun boleh menarik pencalonannya selepas 10 pagi hari penamaan.
"Justeru, Abdul Halim kekal tersenarai dalam kertas undi bagi bahagian pilihan raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada hari penamaan calon Sabtu lepas, DUN Silam menyaksikan pertandingan sembilan penjuru membabitkan 28,261 pengundi.
Antara calon bertanding Sharif Musa Sharif Mabul daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mizma Appehdullah (Gabungan Rakyat Sabah - GRS), Datuk Mohammad Yusof Apdal (Warisan), Borkes @ Balkis Kalinggalan (Perikatan Nasional - PN), Amat Kawoh @ Abd Rahman (Bebas), Mohammad Enriquez (Parti Damai Sabah - SPP), Brahim Bisel (Parti Impian Sabah - PIS) dan Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (Parti Kebangsaan Sabah - PKS)
Susulan penarikan diri Abdul Halim, PH kini bertanding di 21 kerusi DUN.
INFO
N62: SILAM: SABAH: 28,261
1. Sharif Musa Sharif Mabul (BN-UMNO)
2. Datuk Mizma Appehdullah (GRS-Gagasan Rakyat)
3. Datuk Mohammad Yusof Apdal (Warisan)
4. Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN-Bersatu)
5. Abd Halim Sidek Gulam Hassan (PH-PKR)
6. Amat Kawoh @ Abd Rahman (Bebas/IND)
7. Mohammad Enriquez (SPP)
8. Brahim Bisel (PIS)
9. Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS)
(2020: Datu Dumi Masdal: Warisan Plus-Warisan: Majoriti: 1,542)
- Bernama
Ringkasan AI
- Abdul Halim Sidek Gulam Hassan kekal bertanding untuk kerusi DUN Silam walaupun ingin menarik diri selepas hari penamaan
- Menurut SPR, tiada calon boleh menarik pencalonan selepas 10 pagi hari penamaan calon
- Abdul Halim kekal tersenarai dalam kertas undi bagi bahagian pilihan raya tersebut
- DUN Silam menyaksikan pertandingan sembilan penjuru
- Pakatan Harapan kini bertanding di 21 kerusi DUN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

