'Jangan politikkan soal keselamatan, jangan hasut benci Persekutuan' - Khaled

KOTA KINABALU - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi peringatan tegas bahawa soal keselamatan tidak boleh sama sekali dijadikan bahan politik, khususnya sepanjang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan bahawa tiada ruang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menghasut sehingga menimbulkan kebencian terhadap Persekutuan, kerana tindakan sedemikian hanya menyukarkan anggota keselamatan menjalankan tanggungjawab mereka menjaga keselamatan negara.
"Saya berharap masyarakat dalam soal keselamatan tidak dipolitikkan. Sebab keselamatan merupakan perkara yang sangat penting, tidak boleh diabaikan, tidak boleh dikompromi, tidak boleh dijadikan asas untuk dipolitikkan.
"Sebab itulah bagi keselamatan penting bagi kita ada hubungan baik antara negeri dan juga Persekutuan dan jangan ada hasutan membenci Persekutuan, kerana itu akan menyusahkan kita sebagai anggota Persekutuan yang menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Karnival Hari Keluarga Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sepanggar, di Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar, di sini pada Ahad.
Sebelum itu, Mohamed Khaled diminta mengulas mengenai kemungkinan isu keselamatan dijadikan bahan atau topik sepanjang kempen berlangsung selepas penamaan calon selesai pada Sabtu.
Diminta mengulas pandangan penganalisis bahawa Barisan Nasional (BN) mungkin berdepan kerugian kerana bertembung dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) beliau menegaskan bahawa perkara itu tidak timbul kerana tiada sebarang bentuk kerjasama antara kedua-dua pihak.
"Kita tak ada kerjasama dengan GRS, kenapa pula kita nak rasa rugi? Mana ada kita kerjasama dengan GRS. Kita ini parti politik, kita bersedialah. Soalan itu patut ditanya kepada GRS," katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya beliau menegaskan bahawa tugas anggota pertahanan akan menjadi jauh lebih berat sekiranya politik tidak stabil dan pentadbiran tidak kukuh.
"Sebagai warga pertahanan negara, maknanya kita yang ada di sini merupakan kumpulan yang sangat pentingkan soal keselamatan negara. Kita tidak ambil mudah soal keselamatan dan kita merupakan kumpulan yang tidak mengabaikan soal keselamatan negara
"Bukan sahaja kita yang menjaga keselamatan negara tetapi kita mahu supaya ekosistem sekeliling kita itu menyumbang dan menjamin kepada keselamatan. Jika keadaan sekeliling tidak menyumbang kepada keselamatan maka kita yang bertanggungjawab dan tentunya mempunyai beban serta tanggungjawab yang lebih untuk Menjaga dan menjaga keselamatan.
"Di sinilah kita perlu mempunyai kesedaran betapa pentingnya ekosistem keselamatan di sekeliling kita. Ekosistem kehidupan itu menyumbang kepada keadaan keselamatanya yang boleh menjayakan kita memainkan peranan kita," katanya.
Ringkasan AI
- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi peringatan bahawa keselamatan tidak boleh dijadikan bahan politik semasa PRN17 Sabah
- Beliau menegaskan tiada kompromi bagi pihak yang menghasut dan menimbulkan kebencian terhadap Persekutuan
- Keselamatan adalah perkara penting yang harus diprioritaskan dan tidak boleh dikompromi atau dipolitikkan
- Tiada kerjasama antara UMNO dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam konteks politik yang dibangkitkan
- Tugas anggota pertahanan akan menjadi lebih berat dalam situasi politik yang tidak stabil dan pentadbiran yang tidak kukuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
