PRN Sabah: Tindakan tegas terhadap ahli GRS tanding bebas - Hajiji

Hajiji (tengah) hadir mengemukakan borang pencalonan pada proses penamaan calon PRN Sabah ke-17 DUN Sulaman di Dewan Seri Sulaman pada Sabtu. Foto Bernama
Hajiji (tengah) hadir mengemukakan borang pencalonan pada proses penamaan calon PRN Sabah ke-17 DUN Sulaman di Dewan Seri Sulaman pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

TUARAN - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli dalam parti komponennya yang bertanding atas tiket bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata, perkara itu dikhuatiri boleh menyebabkan berlaku pertembungan sama ada dengan calon PGRS sendiri atau dengan parti komponen dalam GRS.

"Bagi parti-parti yang friendly contest itu kita boleh terima, tetapi bagi ahli-ahli PGRS dan GRS yang bertanding calon bebas, kita akan ambil tindakan untuk pecat mereka daripada parti.

"Ini kita tidak boleh bertolak ansur," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Pantai Dalit, Kiulu dan Tamparuli di Dewan Seri Sulaman di sini pada Sabtu.

Hajiji berdepan pertandingan lima penjuru di DUN Sulaman pada pilihan raya kali ini dan dicabar calon muda serta muka baharu daripada Barisan Nasional (BN), Dr Shahnon Rizal Thaijuddin, Mokhtar Hussin (Warisan), Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional) dan Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah).

Pada PRN lepas, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Sulaman dengan majoriti 3,099 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Sementara itu, Hajiji berkata, beliau yakin mampu mempertahankan kerusi berkenaan.

"Inilah demokrasi. Semua boleh bertanding. Tetapi, saya amat yakin GRS akan menang dengan majoriti besar di kawasan Sulaman," kata Hajiji yang telah menyandang kerusi itu sejak 1990.

Beliau juga yakin GRS dan Pakatan Harapan akan membentuk kerajaan pada 29 November ini.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 29 Nov manakala pengundian awal pada 25 November. - Bernama

Ringkasan AI

  • GRS akan mengambil tindakan tegas terhadap ahli yang bertanding sebagai calon bebas dalam PRN Sabah
  • Ahli PGRS dan GRS yang bertanding sebagai calon bebas akan dipecat daripada parti
  • Hajiji Noor berdepan pertandingan lima penjuru di DUN Sulaman
  • Beliau yakin GRS akan memenangi kerusi DUN Sulaman dengan majoriti besar
  • Hajiji juga yakin GRS dan Pakatan Harapan akan membentuk kerajaan pada 29 November

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!