PM Jepun kuat bekerja, hanya tidur dua hingga empat jam sehari

Sanae Takaichi (kiri) menghadiri sesi Jawatankuasa Belanjawan Dewan Kaunselor di Parlimen Jepun (National Diet) di Tokyo pada 12 November lalu.-AFP
Sanae Takaichi (kiri) menghadiri sesi Jawatankuasa Belanjawan Dewan Kaunselor di Parlimen Jepun (National Diet) di Tokyo pada 12 November lalu.-AFP
A
A
A

TOKYO – Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi mendedahkan pada Khamis bahawa beliau hanya tidur antara dua hingga empat jam sahaja setiap malam.

Pendedahan itu dibuat selepas kerajaan pimpinannya berdepan kritikan kerana didakwa menggalakkan budaya kerja melampau dalam kalangan rakyat.

Takaichi menarik perhatian umum pada minggu lalu apabila beliau mengarahkan mesyuarat bersama pegawainya diadakan pada jam 3 pagi sebagai persiapan sidang Parlimen.

“Saya tidur sekitar dua jam sekarang, empat jam paling lama. Saya rasa ia tidak baik untuk kulit saya,” katanya ketika menjawab soalan berhubung usaha kerajaan mengurangkan waktu kerja di Jepun, negara yang sudah lama bergelut dengan isu tekanan kerja tinggi.

Jepun terkenal dengan budaya kerja ekstrem hingga menyebabkan wujudnya istilah 'karoshi' yang merujuk kepada kematian akibat bekerja berlebihan.

Takaichi turut diminta menjelaskan perbincangan kerajaan berhubung kemungkinan melonggarkan had maksimum kerja lebih masa demi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Beliau mempertahankan langkah itu dengan menyatakan keperluan pekerja adalah berbeza.

Katanya, terdapat pekerja yang terpaksa melakukan dua pekerjaan untuk menampung kos hidup, manakala syarikat pula menetapkan had ketat terhadap kerja lebih masa.

Menurutnya lagi, sebarang perubahan dasar mesti memastikan kesihatan pekerja terus terpelihara.

Artikel Berkaitan:

“Jika kita dapat mewujudkan keadaan yang mana rakyat boleh mengimbangi tanggungjawab menjaga anak atau keluarga, sambil bekerja dan menikmati masa lapang, itulah situasi ideal,” katanya.

Takaichi yang menjadi wanita pertama memegang jawatan Perdana Menteri Jepun bulan lalu itu sebelum ini berikrar untuk 'melupakan istilah keseimbangan kerja-hidup' dan memberi sepenuh komitmen kepada tugas.

Sejak memegang jawatan, beliau mengekalkan jadual amat padat termasuk menghadiri mesyuarat serantau dan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden China Xi Jinping serta Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung. -AFP

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi dikatakan hanya tidur antara dua hingga empat jam setiap malam
  • Beliau mengarahkan mesyuarat diadakan jam 3 pagi sebagai persiapan sidang Parlimen
  • Jepun bergelut dengan budaya kerja ekstrem dan isu 'karoshi'
  • Takaichi mempertahankan langkah kerja lebih masa dengan menyatakan keperluan pekerja yang berbeza
  • Beliau menjadi wanita pertama memegang jawatan Perdana Menteri Jepun dan mengekalkan jadual kerja yang amat padat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!