MCMC menang saman, dapat penghakiman ingkar terhadap ‘Edisi Siasat’, ‘Edisi Khas’

MCMC berjaya dalam kes samannya terhadap dua pentadbir saluran Telegram ‘Edisi Siasat’, Edisi Khas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada Jumaat.
MCMC berjaya dalam kes samannya terhadap dua pentadbir saluran Telegram ‘Edisi Siasat’, Edisi Khas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya dalam kes samannya terhadap dua pentadbir saluran Telegram ‘Edisi Siasat’, Edisi Khas di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, berhubung menyebaran atau menerbitkan 33 artikel yang memudaratkan.

Hakim, Mahazan Mat Taib memutuskan demikian selepas MCMC selaku plaintif berjaya memperoleh penghakiman ingkar terhadap dua individu yang tidak dikenali itu.

Penghakiman ingkar ialah keputusan mahkamah yang memihak kepada plaintif dalam sesuatu kes saman, sekiranya defendan gagal menjawab tuntutan terhadapnya.

Selepas prosiding, peguam, Wong Guo Jin yang mewakili MCMC berkata, mahkamah mendapati, dua individu itu gagal untuk memasukkan kehadiran dan memfailkan pembelaan, masing-masing pada 10 dan 24 September lalu.

“MCMC telah memfailkan JID ini pada 25 September lalu bagi beberapa tuntutan yang dimasukkan pada writ bertarikh dan pernyataan tuntutan bertarikh 21 Mei.

“Peguam bagi kedua-dua defendan juga tidak hadir ke mahkamah bagi prosiding ini,” katanya.

Susulan itu beliau berkata, mahkamah membenarkan permohonan JID ini terhadap mereka.

Bagaimanapun beliau berkata, ganti rugi am dan teladan akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah pada tarikh lain.

Menurutnya, mahkamah menetapkan 27 November untuk sebutan semula kes yang mana ia membabitkan defendan ketiga iaitu Telegram Messenger Inc, berhubung kegagalannya membantu pengawal selia menguatkuasakan tugas dalam isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Defendan ketiga perlu mengambil tindakan segera memandangkan dua pentadbir saluran tersebut merupakan individu yang tidak dikenali,” katanya ketika di luar mahkamah.

Sementara itu, menerusi kenyataan media, seorang lagi peguam MCMC, Datuk Sankara Nair berkata, mahkamah memberikan beberapa relif utama termasuk perisytiharan bahawa dua defendan itu telah membenarkan penggunaan saluran masing-masing, untuk menerbitkan kandungan palsu, mengancam dan menyinggung perasaan.

Menurutnya, mahkamah turut mengeluarkan injunksi mandatori yang memerintahkan mereka menghapuskan semua bahan berunsurkan fitnah tersebut.

Selain itu katanya, injunksi larangan turut diberikan bagi menghalang kedua-dua pentadbir tersebut daripada menerbitkan semula, menyebarkan atau menyiarkan kandungan palsu atau berbahaya yang serupa pada masa hadapan.

“Mahkamah juga memutuskan MCMC berhak menerima ganti rugi am dan teladan yang akan dinilai kemudian, selain kos atas dasar peguamcara dan anak guam.

“Penghakiman itu merupakan langkah penting dalam membendung penyalahgunaan platform dalam talian tanpa nama untuk menyebarkan maklumat palsu, intimidasi dan dakwaan berniat jahat.

“Keputusan ini juga menunjukkan mengesahkan bahawa kerahsiaan dalam talian tidak melindungi pesalah daripada akauntabiliti undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, perintah yang diperoleh itu juga memberi kuasa kepada suruhanjaya tersebut untuk meneruskan usaha penguatkuasaan, termasuk mendapatkan semula ganti rugi dan kos guaman sekiranya identiti individu di sebalik saluran berkenaan dikenal pasti pada masa hadapan.

Katanya, MCMC kekal komited memastikan platform digital tidak dieksploitasi sehingga menjejaskan ketenteraman awam, merosakkan reputasi atau menyebarkan kandungan yang menyalahi undang-undang.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan pematuhan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Pada 21 Mei lalu, MCMC selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan dua individu itu serta Telegram Messenger Inc sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa saluran berkenaan terlibat dalam kempen terancang yang menyasarkan Institusi Diraja, badan atau institusi awam sejak 6 Februari 2024.

MCMC turut mendakwa semua defendan menyebarkan berita palsu dan mengelirukan bertujuan mengganggu ketenteraman awam serta melemahkan kepercayaan terhadap tadbir urus negara.

Plaintif menyatakan segala dakwaan tersebut sebagai rekaan dan tidak disokong dengan sebarang bukti.

Katanya, penerbitan berita palsu berniat jahat untuk mencetus ketidakpuasan hati dan kebencian orang awam terhadap kerajaan Malaysia.

Tindakan berkenaan boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan dan menimbulkan ketakutan orang awam berhubung isu privasi dan keselamatan data.

Plaintif mendakwa, sehingga tarikh pemfailan tindakan berkenaan, saluran aplikasi itu masih terus menerbit dan menyebarkan siri kandungan jelik melampau, palsu dan mengancam terhadap Institusi Diraja Malaysia dan institusi awam.

Susulan itu, MCMC memohon satu deklarasi bahawa defendan pertama dan kedua telah membenarkan dan memudahkan penggunaan saluran-saluran itu untuk menerbit dan mengedarkan kandungan memudaratkan terhadap pihak lain.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa defendan ketiga membantu, bersubahat, memudahkan dan menyumbang kepada penerbitan dan pengedaran kandungan-kandungan berkenaan oleh defendan pertama dan kedua dengan tidak memadamkan saluran berkenaan apabila diarahkan secara statutori.

Pada 19 Jun lalu, MCMC dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil langkah tegas dengan memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram itu.

MCMC berkata tindakan itu, merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, memandangkan media berkenaan merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi.

 

 

 

Ringkasan AI

  • MCMC menang kes saman terhadap dua pentadbir saluran Telegram 'Edisi Siasat' kerana menyebarkan 33 artikel memudaratkan
  • MCMC memperoleh penghakiman ingkar setelah kedua-dua defendan gagal menjawab tuntutan
  • Kes diadili di Mahkamah Tinggi dengan Hakim Mahazan Mat Taib membuat keputusan
  • Ganti rugi am dan teladan akan ditaksirkan pada tarikh yang akan ditetapkan
  • Samaman MCMC mendakwa saluran tersebut menyebarkan berita palsu yang mengancam institusi kerajaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!