Kerajaan gagal tangguh bayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu Ivana Smit

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit, yang mayatnya ditemukan di balkoni tingkat enam sebuah kondominium, lapan tahun lalu.
Hakim, Roz Mawar Rozain juga memerintahkan kerajaan mendepositkan faedah terkumpul ke akaun amanah selewat-lewatnya Khamis dan Kerajaan perlu membayar kos sebanyak RM8,000 kepada ibu model itu, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen.
Prosiding itu dihadiri peguam, Datuk SN Nair yang mewakili Christina sementara Kerajaan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Siti Aishah Ramlan.
Pada 29 Julai lalu, Roz Mawar mengarahkan kerajaan dan tiga pihak lain membayar jumlah itu kepada Christina selepas membenarkan saman dikemukakannya apabila mendapati wujud kecuaian oleh pihak polis ketika mengendalikan siasatan kematian anak perempuannya pada tahun 2017.
Mahkamah memerintahkan defendan membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM300,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan kepada Christina.
Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM100,000 kepada keluarga mangsa.
Pada 20 November 2020, Christina sebagai plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, Faizal, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.
Plaintif mendakwa mereka melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.
Dalam penyataan tuntutan, Christina berkata, anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Beliau mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barangan peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy serta gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran kedua-duanya semasa inkues sebagai saksi utama.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu Ivana Esther Robert Smit
- Kerajaan perlu mendepositkan faedah terkumpul ke akaun amanah dan membayar kos RM8,000 kepada Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen
- Pada 29 Julai, mahkamah memerintahkan kerajaan dan tiga pihak lain membayar ganti rugi kepada Christina kerana kecuaian polis dalam siasatan kematian anaknya pada tahun 2017
- Defendan termasuk Ketua Polis Negara dan pegawai penyiasat diarahkan membayar kos RM100,000 kepada keluarga mangsa
- Christina mendakwa polis cuai dalam menyiasat kematian anaknya yang berumur 18 tahun, ditemukan maut setelah jatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium pada 7 Disember 2017
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

