Enam kilang proses minyak pelincir kenderaan tiruan diserbu

Minyak pelincir kenderaan tiruan yang dirampas selepas enam kilang diserbu oleh KPDN Selangor pada Rabu.
Minyak pelincir kenderaan tiruan yang dirampas selepas enam kilang diserbu oleh KPDN Selangor pada Rabu.
A
A
A

AMPANG – Kegiatan sindiket menghasilkan minyak pelincir kenderaan tiruan terbongkar selepas enam kilang diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor di sini pada Rabu.

Menerusi serbuan kira-kira jam 10 pagi oleh KPDN Selangor bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor serta wakil pemilik cap dagangan itu, pihak berkuasa merampas minyak pelincir tiruan pelbagai jenama bernilai RM1 juta.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, seramai 42 individu termasuk 28 warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Siasatan mendapati enam premis berkenaan terletak berdekatan antara satu sama lain dan masing-masing mempunyai fungsi berbeza dalam proses penghasilan minyak pelincir tiruan ini.

“Kilang pertama berperanan menghasilkan botol minyak pelincir sebelum dihantar ke kilang lain untuk diproses dan diisi. Botol berkenaan kemudian dilekatkan pelekat dan nombor siri bagi meyakinkan pengguna kononnya produk tersebut adalah asli,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Menurut beliau, sindiket turut menggunakan satu lagi premis sebagai stor penyimpanan dan pejabat urusan mereka.

“Serbuan ini dijalankan hasil risikan selama dua bulan terhadap premis-premis terlibat,” katanya.

Mohd Zuhairi menjelaskan, modus operandi sindiket yang dipercayai aktif sejak enam bulan lalu ialah menggunakan minyak pelincir terpakai yang disuling semula, dicampur dengan minyak asas dan pewarna tiruan, sebelum dibungkus serta dijual di pasaran tempatan.

“Kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembekal serta pasaran utama produk tiruan tersebut.

“Setakat ini, kita belum dapat memastikan sama ada minyak pelincir itu dijual pada harga sama seperti pasaran atau lebih murah,” katanya.

Ringkasan AI

  • Sindiket minyak pelincir tiruan terbongkar, enam kilang diserbu oleh KPDN Selangor
  • Minyak pelincir tiruan pelbagai jenama bernilai RM1 juta dirampas dalam serbuan
  • Seramai 42 individu termasuk 28 warga asing ditahan
  • Sindiket menggunakan proses penghasilan yang kompleks termasuk penyulingan minyak pelincir terpakai
  • Siasatan dilakukan di bawah Akta Cap Dagangan 2019

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!