Wanita maut digilis gagal mencelah antara dua lori

KLUANG – Seorang wanita maut selepas digilis lori dalam kejadian di Kilometer (KM) 55.6 Jalan Batu Pahat–Mersing, di sini, pada Selasa, apabila motosikal yang diboncengnya bersama anak lelaki hilang kawalan ketika cuba mencelah di antara dua lori.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.15 petang melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dan dua buah lori.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dalam perjalanan dari arah Batu 4 menghala ke pusat bandar.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan dibonceng ibunya berusia 59 tahun dari arah yang sama telah hilang kawalan ketika cuba mencelah di antara lori tersebut dan sebuah lagi lori.
“Akibatnya, penunggang motosikal terjatuh di atas jalan raya manakala ibunya terjatuh ke bahagian tayar belakang lori dan digilis, menyebabkan kematian di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada lewat malam Selasa.
Tambah Bahrin, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan dada, manakala anaknya cedera di bahagian tangan dan kaki, dan kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana bali polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) dan 014-3656822 (tablet DCC),” katanya.
Ringkasan AI
- Wanita maut selepas digilis lori di Jalan Batu Pahat–Mersing
- Kejadian berlaku ketika motosikal cuba mencelah antara dua lori
- Motosikal ditunggang lelaki 32 tahun, dibonceng ibunya berusia 59 tahun
- Mangsa mengalami kecederaan parah, anaknya cedera ringan
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
