KKM sedia ambil jururawat luar negara jika ada permohonan - Menteri

Dr Dzulkefly ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto: Bernama
Dr Dzulkefly ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Kementerian Kesihatan (KKM) sedia mempertimbangkan pengambilan jururawat dari luar negara sekiranya ada permintaan terutama bagi mengisi kekurangan ketara di hospital awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan, namun terdapat beberapa syarat yang perlu diteliti khususnya berkaitan kemahiran, klinikal dan keselamatan sekiranya mahu membawa masuk jururawat asing.

"Kami di KKM tidak menolak akan usaha atau pilihan untuk mempertimbangkan kemasukan jururawat dari luar negara.

"Syaratnya adalah pastikan dari sudut keupayaan klinikal, kemahiran dan antara perkara paling mustahak adalah untuk pastikan standard, selain aspek keselamatan, kecekapan serta persoalan lain termasuk dari segi budaya dan bahasa.

"Ini semua akan kami pertimbang dan sedang pertimbang. Kalau ada permohonan yang jelas dan formal, pasti kita akan pertimbangkan segera, tetapi setakat ini belum ada," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah (PH-Tebrau) mengenai kesediaan KKM mengambil jururawat dari negara luar terutama Indonesia bagi mengisi kekosongan perjawatan itu di hospital awam.

Dalam pada itu Dzulkefly memaklumkan, setakat ini KKM belum menerima sebarang permohonan rasmi dari mana-mana negeri bagi tujuan itu.

"Sememangnya perkara ini jadi pertimbangan dan keprihatinan atas kekurangan jumlah jururawat di seluruh negara.

"Angka paling mutakhir (jumlah jururawat seluruh negara) adalah 8,000 dan saya sangat sedar realiti ini dan bukan mudah untuk kita tingkatkannya.

Artikel Berkaitan:

"Ia memerlukan masa, misalnya dua tahun untuk program diploma (kejururawatan) dan sebagainya. Oleh itu, perlu ada cara untuk tangani jurang ini, sesegera (yang boleh)," ujarnya.

Ringkasan AI

  • KKM sedia pertimbangkan pengambilan jururawat asing untuk isi kekurangan di hospital awam
  • Ada syarat tertentu berkaitan kemahiran, klinikal dan keselamatan untuk jururawat asing
  • Pengambilan jururawat asing dipertimbangkan jika ada permohonan yang jelas dan formal
  • KKM belum menerima permohonan rasmi untuk pengambilan jururawat dari luar negara
  • Terdapat kekurangan 8,000 jururawat di seluruh negara, memerlukan masa untuk tingkatkan jumlah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!