Hakim Danish intai pungutan mata di Valencia

PELUMBA muda sensasi negara, Muhammad Hakim Danish Ramli segera mengalihkan fokusnya kepada perlumbaan penutup musim Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 di Grand Prix (GP) Valencia hujung minggu ini, selepas meraih mata sulung di GP Portugal.
Pada Ahad, anak kelahiran Terengganu berusia 18 tahun itu menampilkan tunggangan konsisten di Litar Antarabangsa Algarve untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12, walaupun bermula dari petak 17.
Menggantikan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka dalam pasukan FRINSA MT Helmets MSI, Hakim Danish meraih empat mata selepas menamatkan saingan dengan ketinggalan 24.276 saat (s) di belakang pemenang dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles yang mencatat masa keseluruhan 34 minit 05.18s.
Dalam pada itu, Hakim Danish mengakui pengalaman di Portugal amat berharga dan ia menyuntik keyakinannya untuk menampilkan prestasi lebih baik di Sepanyol nanti.
“Saya sangat menikmati perlumbaan ini dan sedar masih banyak yang perlu diperbaiki.
“Pengalaman ini akan menjadi asas untuk saya tampil lebih baik di Valencia,” katanya.
Sebagai rekod, Hakim Danish membuat kemunculan pertama di pentas Moto3 sebagai pelumba wildcard bersama pasukan AEON Credit SIC Racing MSi pada GP Malaysia hujung bulan lalu.
Musim 2026 bakal menyaksikan penyertaan penuh Hakim Danish di Moto3 yang bergandingan dengan Yamanaka bersama MSI Racing Team.
Ringkasan AI
- Muhammad Hakim Danish Ramli mengalih fokus kepada perlumbaan Moto3 di GP Valencia setelah meraih mata di GP Portugal
- Anak kelahiran Terengganu itu telah menamatkan perlumbaan di posisi ke-12 di GP Portugal
- Hakim Danish menggantikan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka dalam pasukan FRINSA MT Helmets MSI
- Pengalaman di Portugal meningkatkan keyakinan Hakim Danish untuk perlumbaan seterusnya di Sepanyol
- Musim 2026 akan menyaksikan penyertaan penuh Hakim Danish di Moto3 bersama Yamanaka dan MSI Racing Team
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

