Percaturan Sabah memuncak, semua mata ke GRS

PERCATURAN politik di Sabah kini memasuki fasa paling mendebarkan. Selepas Barisan Nasional (BN), PKR, DAP dan Parti Maju Sabah (SAPP) masing-masing mengumumkan calon untuk Pilihan Raya Negeri ke-17, tumpuan kini beralih kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dijangka menyingkap senarai calonnya esok.
Pengumuman itu bukan sekadar melengkapkan senarai peserta pilihan raya tetapi dijangka menjadi detik penentu sama ada pertembungan besar bakal tercetus, khususnya antara parti-parti yang secara paradoksnya berada dalam kerajaan yang sama di peringkat Persekutuan.
BN sudah mengumumkan 41 calon menggunakan lambang dacing, menandakan usaha parti itu mengukuhkan identitinya sendiri selepas beberapa musim politik penuh kompromi.
PKR pula menampilkan 10 calon dengan pendekatan lebih berhati-hati. Keputusan menggugurkan penyandang tiga penggal di Api-Api, Christina Liew, menandakan rombakan besar dalam strategi parti. Kehadiran nama-nama baharu seperti Thonny Chee dan Yamani Hafez Musa memperlihatkan cubaan menambat hati pengundi muda.
DAP Sabah yang mengumumkan tujuh calon turut memberi tumpuan kepada kesinambungan di kawasan bandar seperti Likas, Kapayan dan Elopura, selain mengetengahkan tiga calon wanita sebagai wajah baharu parti.
Sementara itu, SAPP dengan enam calon, separuh daripadanya muka baharu, kekal menumpukan kekuatan pada kawasan tradisi parti.
Namun semua kini tertumpu kepada GRS. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan hanya 'calon boleh menang' ditampilkan kali ini.
Apabila senarai GRS diumumkan Rabu ini, akan terjawab sama ada percaturan kerusi kali ini berlaku pertindihan atau sebaliknya.
Dalam masa sama, BN dijangka menambah lagi warna apabila Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengesahkan akan mengumumkan enam atau tujuh lagi kerusi 'istimewa' ditandingi sebelum penamaan calon Sabtu ini.
Dengan langkah itu, jelas BN belum menutup pintu sepenuhnya malah masih membaca gerak politik sekutu lain terutama dalam meneliti senarai calon GRS, nanti.
Apa pun keputusannya, Rabu nanti bakal menjadi hari paling hangat menjelang penamaan calon, hari yang menentukan sejauh mana percaturan politik Sabah mampu mengekalkan keseimbangan antara kerjasama dan persaingan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
