NBKK kukuh nilai kasih sayang

PUTRAJAYA – Ribuan pengunjung membanjiri Padang Semarak, Taman Wetland di sini sempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK) 2025 yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dan harmoni di sini pada Ahad.
Seawal pagi, tapak program mula dipenuhi pengunjung yang hadir untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti larian keluarga, pameran kesihatan, aktiviti dalam dewan, permainan kanak-kanak, pertandingan mewarna, demonstrasi memasak serta pameran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Suasana bertambah ceria dengan gelak tawa anak-anak kecil, sorakan peserta serta alunan muzik yang menghidupkan suasana kekeluargaan sebenar.
Kemeriahan jelas tergambar apabila setiap ruang padang dipenuhi warna-warni khemah aktiviti, selain gerai makanan dan reruai pameran yang tidak putus dikunjungi orang ramai.

Program ini bukan sahaja menjadi wadah mengeratkan hubungan keluarga malah mempertemukan komuniti pelbagai latar belakang dalam satu semangat besar iaitu kasih keluarga, bahagia bersama.
Sambutan NBKK kali ini yang disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu menzahirkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh institusi keluarga sebagai teras keharmonian masyarakat Malaysia.
Program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu turut menjadi platform menonjolkan pelbagai inisiatif keluarga Madani menekankan keseimbangan antara kerjaya, kasih sayang dan tanggungjawab sosial.
Menurut Wan Azizah, keluarga yang bahagia menjadi asas pembentukan masyarakat yang sejahtera dan berakhlak.
Jelasnya, semua pihak perlu memainkan peranan aktif memupuk kasih sayang serta komunikasi harmoni dalam rumah tangga.
“Apabila keluarga kuat dan bersatu, negara juga akan makmur.
"Nilai kasih sayang, saling menghormati dan tanggungjawab dalam keluarga perlu dipupuk sejak kecil,” katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran tersebut.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penganjuran kali ini memberi tumpuan khas kepada pengukuhan peranan kebapaan serta penglibatan remaja dalam aktiviti membina sahsiah diri.
“Kita hendak mengukuhkan lagi peranan kebapaan kali ini, sebab itu ada lebih banyak aktiviti untuk golongan bapa.
“Kita juga adakan program kesedaran berkaitan kesihatan reproduktif dan rawatan kesuburan untuk lelaki supaya tanggungjawab tidak diletakkan hanya kepada isteri,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan program keluarga kali ini lebih menyeluruh iaitu merangkumi ibu bapa, anak-anak, remaja dan warga emas bagi membentuk ekosistem keluarga yang sihat dan seimbang.
“Kita perkuatkan lagi kandungan program dengan elemen nilai murni, tanggungjawab dan keselamatan digital memandangkan cabaran dunia dalam talian semakin meningkat melibatkan anak-anak,” jelasnya.
Program NBKK akan diteruskan sepanjang bulan November di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti komuniti bagi memperkukuh nilai kasih sayang dan keharmonian keluarga Malaysia.
Ringkasan AI
- Ribuan pengunjung membanjiri Padang Semarak, Taman Wetland untuk menyambut November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025
- Acara ini menawarkan pelbagai aktiviti seperti larian keluarga, pameran kesihatan, dan permainan kanak-kanak
- Sambutan NBKK ini bertujuan mengeratkan hubungan keluarga dan mempertemukan komuniti pelbagai latar belakang
- Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyatakan komitmen kerajaan dalam memperkukuh institusi keluarga
- Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

