Stesen KTM Butterworth bakal dinaik taraf

BUKIT MERTAJAM - Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Butterworth bakal dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menjadikannya hab pengangkutan awam bersepadu utama di Seberang Perai.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelantikan kontraktor bagi projek berkenaan dijangka dibuat bulan hadapan sebelum kerja-kerja menaik taraf dimulakan.
Menurutnya, projek itu penting kerana ia akan mengintegrasikan perkhidmatan KTM, perkhidmatan komuter, feri Pulau Pinang dan projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang di bawah satu sistem pengangkutan bersepadu di Penang Sentral.
"Mengapa Stesen KTM Butterworth itu penting? Ini kerana ia akan mengintegrasikan perkhidmatan KTM, komuter dengan feri dan LRT Pulau Pinang.
"Ketiga-tiga mod pengangkutan ini akan dihubungkan menjadikan Penang Sentral sebagai pusat hab pengangkutan awam di Seberang Perai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang di sini pada Ahad.
Hadir sama, Penasihat DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pembangunan tersebut membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan di Pulau Pinang tidak hanya tertumpu di kawasan pulau, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada keseimbangan pembangunan di bahagian tanah besar.
Katanya, pembangunan berkenaan menjadikan Pulau Pinang membangun dengan lebih seimbang dan lestari.
Tambahnya lagi, stesen bersepadu itu bakal menjadi nadi pembangunan kawasan Butterworth, membolehkan pelancong dan penduduk menikmati kemudahan perjalanan yang lebih lancar sama ada menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS), feri mahupun LRT pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Anthony Loke turut memaklumkan bahawa pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) diperluaskan kepada Terminal Kargo Udara di Batu Maung.
Jelasnya, ia bagi memperkukuhkan lagi perkhidmatan logistik udara dan memudahkan pemain industri untuk mengakses perkhidmatan tersebut di peringkat antarabangsa.
"Kita akan memperbesarkan terminal kargo udara dan membangunkan taman logistik moden di Batu Maung untuk menarik lebih banyak pemain logistik antarabangsa.
"Kapasiti kargo udara juga akan dilipatgandakan daripada tiga kepada enam tempat letak kapal terbang," katanya.
Jelasnya, semua projek itu akan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan memastikan Pulau Pinang terus muncul sebagai pusat industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor terkemuka bukan sahaja di Malaysia, tetapi di rantau Asia Pasifik.
Ringkasan AI
- Stesen KTM Butterworth akan dinaik taraf dengan peruntukan RM30 juta menjadi hab pengangkutan awam di Seberang Perai
- Kontraktor projek menaik taraf bakal dilantik bulan depan
- Projek menaik taraf akan mengintegrasikan perkhidmatan KTM, komuter, feri Pulau Pinang dan LRT Pulau Pinang
- Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang termasuk Terminal Kargo Udara untuk memperkuatkan perkhidmatan logistik udara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
